PENGUNJUNG memilih pelbagai jenis durian dengan harga berpatutan pada Festival Durian Antarabangsa Raub. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

SEBANYAK 15 tan durian pelbagai jenis dijual sepanjang tiga hari Festival Durian Antarabangsa Raub di Dataran Raub yang berakhir semalam.

Pegawai Daerah Raub, Datuk Mohammad Shahid Ismail berkata, festival kali pertama diadakan itu disertai 180 peniaga durian tempatan selain pelbagai produk pertanian oleh agensi kerajaan dan swasta serta orang perseorangan.

“Seramai 30 usahawan pengeksport durian Musang King dan pelbagai produk berasaskan durian turut menyertai festival yang berjaya menarik kehadiran kira-kira 35,000 peminat durian dari dalam dan luar Pahang, termasuk pelancong.

“Kita bercadang untuk menjadikan festival ini sebagai acara tahunan dan berdasarkan sambutan diterima, saya percaya ia boleh membantu mempromosikan jenama Raub itu sendiri kepada pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan media di Raub, hari ini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri, terutamanya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sudi merasmikan festival berkenaan, Jumaat lalu.

Katanya, sokongan padu daripada kerajaan negeri turut menyumbang kepada penganjuran festival berkenaan.

Sementara itu, pegawai Pejabat Pertanian Raub Nor Hazwani Abdul Aziz berkata, kawasan seluas 11,000 hektar di daerah ini diusahakan dengan tanaman durian klon pelbagai jenis.

“Dua kawasan utama tanaman Raja Buah itu ialah Mukim Teras dan Gali dengan hampir setiap tahun pengeluaran durian di kawasan berkenaan memberi hasil lumayan kepada pekebun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 10:18 AM