KHAIRILL menunjukkan buah nanas yang baru dipetik di ladangnya di Kota Rembau.
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


KEPUTUSAN meninggalkan kerjaya jurutera mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk mengusahakan tanaman nanas ternyata tidak sia-sia buat Khairill Anwar Mohamad, 41, apabila mampu memperoleh pendapatan lumayan.

Kini, bapa kepada lima anak itu mampu tersenyum kerana memiliki 100,000 pokok yang mengeluarkan hasil setiap hari di ladangnya di Kota dekat sini dan di Kampung Kendong, Alor Gajah.

Walaupun pernah kerugian kira-kira RM100,000 hasil tanaman jagung yang tidak menjadi antara 2003 dan 2008, ia tidak mematahkan semangatnya untuk mengusahakan tanaman nanas pula.

“Saya memulakan projek tanaman nanas jenis MD2 dan Crystal Honey pada 2014 di kawasan seluas empat hektar di Kota dan Kampung Kendong, Alor Gajah.

“Projek dimulakan dengan modal permulaan kira-kira RM50,000 bagi penyediaan tapak serta infrastruktur ladang. Selepas menampakkan kemajuan, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) membantu dari segi pembekalan benih, baja selain khidmat nasihat.

“Bermula dengan hanya 3,000 pokok, kini saya memiliki hampir 100,000 pokok nanas jenis MD2 dan Crystal Honey,” katanya ketika ditemui di ladangnya.

KHAIRILL (kanan) bersama pengunjung yang datang ke pusat pemasaran nanas miliknya di Kota Rembau.

Katanya, selain tanah yang diusahakan itu milik keluarga, sebahagian daripadanya dipajak daripada pemilik penduduk setempat.

Menurutnya, permintaan yang sentiasa meningkat menambahkan semangatnya untuk terus berusaha gigih bagi memenuhi pasaran di daerah ini, Seremban, Melaka dan Lembah Klang.

Katanya, walaupun kerja menguruskan ladang seperti meracun dan mengumpulkan sulur memenatkan namun ia menyeronokkan dan berbaloi dengan usaha yang dicurahkan.

Khairill Anwar berkata, meskipun pada peringkat permulaan tanaman itu hanya boleh dituai antara 12 hingga 15 bulan, namun ia mampu memberi pulangan lumayan.

Beliau turut mengakui berpuas hati dengan usahanya terbabit dalam tanaman nanas kerana mampu memasarkan sekitar 3,000 biji nanas setiap minggu.

Menurutnya, ketika ini harga di pasaran bagi kedua-dua jenis nanas antara RM5 dan RM7 sekilogram dan bekalan buah itu sentiasa tidak mencukupi.

“Selain memenuhi permintaan peniaga dan pelanggan di pasar tani dan pekan, saya turut memasarkan sendiri sehingga ke ibu negara bergantung kepada permintaan.

“Namun, ada juga yang datang terus ke ladang bagi mendapatkan nanas, saya juga menyediakan pakej kepada pengunjung untuk belajar cara tanam nanas,” katanya yang akui kini mampu memperoleh pendapatan bersih antara RM9,000 hingga RM10,000 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 6:20 AM