MANGSA maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan MPV Toyota Alphard sebelum diseret sejauh 20 meter di Jalan Lapangan Terbang, Sura Hujung, Dungun. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


KERISAUAN seorang ibu yang menanti kepulangan anak bongsunya terjawab selepas mendapat berita mengenai kematian anaknya dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang, Sura Hujung, Dungun, kelmarin.

Asiah Omar, 61, menerima berita sedih itu kira-kira dua jam selepas anaknya, Siti Izekhadijah Ibrahim, 17, terbabit dalam kemalangan pada 11 pagi.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Honda EX5 ditunggang Siti Izekhadijah bersama rakannya, Nur Maizatul Akmal Mohd Nawawi, 17, memotong kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria dipandu lelaki berusia 53 tahun.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak sempat memasuki laluan kiri jalan lalu bertembung dengan sebuah MPV Toyota Alphard.

Akibat kemalangan itu, Siti Izekhadijah yang jatuh di atas jalan dikatakan diseret Toyota Alphard sejauh 20 meter menyebabkan dia parah di seluruh badan manakala rakannya yang turut bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Engku Bijaya Sura, Paka, parah di kepala.

Asiah berkata, anaknya sebelum itu meminta izin untuk pergi berjoging di kawasan Bukit Bauk, Dungun bersama rakannya.

“Saya tidak pernah mengizinkan dia menunggang motosikal keluar dari kawasan rumah dan memang terkejut apabila dimaklumkan dia terbabit dalam kemalangan di Sura Hujung.

“Saya tidak tahu tujuan arah mereka ke sana, mungkin selepas berjoging mereka bersiar-siar di kawasan itu,” katanya.

Asiah berkata, dia bergegas ke Hospital Dungun sebaik menerima berita kemalangan menimpa anaknya dan dimaklumkan anak bongsu daripada tujuh beradik itu sudah meninggal dunia sebaik dia tiba di hospital.

“Nak buat macam mana. Memang terkejut tetapi saya terima suratan takdir dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Dungun dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Rakan mangsa yang dilaporkan kritikal dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 1:03 AM