Yusri Abdul Malek
Yusrimalek@hmetro.com.my


JEMAAH haji diingatkan agar mengikuti kelas bimbingan haji dan umrah serta banyak membaca buku rujukan bagi memastikan amalan yang dibuat diterima Allah.

Pengarah Operasi Bimbingan Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, perjalanan jemaah ke Tanah Suci adalah perjalanan kerohanian dan bukan seperti pergi melancong.

Justeru itu, sudah tentu kita mahu amalan haji dan umrah yang dikerjakan diterima mengikut amalan serta cara tertentu yang ditetapkan al-Quran dan hadis.

"Bagi jemaah yang belum tiba ke Tanah Suci, persiapkan diri dengan memahirkan ilmu agar lebih mantap.

"Kita pergi haji ini biasanya sekali seumur hidup jadi untuk mahir, jemaah perlu persiapkan diri.

"Apa yang diajar di tanah air sebelum ini melalui kursus asas, insentif dan perdana perlu dimanfaatkan bila sudah berada di Tanah Suci," katanya ketika sidang media di Makkah, kelmarin.

Tengku Aziz berkata, selain itu, jemaah juga perlu sentiasa berdoa untuk memudahkan perjalanan dalam menjalani ibadah haji dan umrah ini.

"Akan ada kejutan budaya dalam kalangan jemaah yang tidak pernah dirasai sebelum ini dan saya nasihatkan mereka agar banyak berdoa.

"Latih diri dalam mempraktikkan amalan yang selalu kita belajar dan buat iaitu solat berjemaah, sentiasa berdoa dan memperbanyakkan solat sunat.

"Allah pilih mereka untuk menjadi tetamu jadi kita kena bersyukur dan perbanyakkan ibadah," katanya.

Menurutnya, semua jemaah mengimpikan untuk mendapatkan haji mabrur.

Bagi mendapatkan ganjaran besar ini, jemaah perlulah sentiasa mengingati Allah.

"Dalam menjalani ibadah haji, Allah latih kita dengan kesusahan dan ujian serta kepada siapa mereka meminta pertolongan. Adalah kepada manusia atau Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 2:55 PM
JEMAAH haji Malaysia ketika mengerjakan umrah umrah di Makkah. FOTO ihsan Tabung Haji