RAJA Permaisuri Agong melihat tanjak milik almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, semalam.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


PEKAN: Tanjak dan samping milik almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Shah dijangka dipakai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika istiadat pertabalan baginda pada 30 Julai ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, dua persalinan itu pernah dipakai Sultan Ahmad Shah ketika ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-7, 40 tahun lalu.

Titahnya, pemakaian persalinan itu dicadangkan baginda untuk mengambil berkat.

Baginda bertitah, perancangan asalnya mahu Al-Sultan Abdullah memakai Muskat Diraja yang pernah dipakai Sultan Ahmad Shah bersama tanjak, samping dan bengkung diraja.

Muskat itu pernah dipakai almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Sultan Ismail ketika ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-8.

“Saya sangka muat kalau suami saya pakai (Muskat Diraja), sebaliknya, suami saya lagi besar daripada Almarhum Paduka Ayahanda dan bapa mentua Tuanku. Ketika dipakai kedua-dua Sultan, mereka berusia 48 dan 42 tahun.

“Jadi, saya bercadang untuk Tuanku memakai tanjak, samping dan bengkung yang pernah dipakai Paduka Ayahanda bersama Muskat Diraja. Tetapi, bila ditanya kepada muzium, tiada siapa yang peduli mengenai persalinan itu kecuali Muskat yang disimpan muzium.

“Bila saya ke Istana Abu Bakar, saya temui persalinan ini dan saya akan persembahkan kepada Tuanku bila pulang ke Istana Negara untuk meminta pekenan Tuanku memakainya bagi mengambil berkat,” titahnya.

Tunku Azizah Aminah Maimunah bertitah demikian kepada media ketika membuat lawatan mengejut ke Muzium Sultan Abu Bakar di sini, untuk bertemu dengan kenalan baginda yang ditemubual media sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Titahnya, Al-Sultan Abdullah membuat persalinan baru untuk istiadat itu namun baginda mahu Agong memakai tanjak, samping dan bengkung berkenaan.

“Tuanku ada membuat Muskat yang baharu, tetapi saya mahu tuanku pakai bersama tanjak, samping dan bengkung yang pernah dipakai Paduka Ayahanda.

“Saya ambil (Muskat Diraja) disimpan sendiri. Jika Tuanku diizinkan Allah menjadi agong, saya mahu Tuanku memakainya. Disebabkan tidak muat, saya mohon pekenan Tuanku memakai persalinan lain kerana ini satu-satunya tanjak yang ada lambang Istana Negara,” titah Tunku.

Baginda bertitah, gambar kenangan Tuanku bersama almarhum bonda dan ayahanda yang ditemui di bilik simpanan pakaian diraja di Istana Abu Bakar dimuatkan dalam buku cenderamata untuk istiadat pertabalan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:16 AM