JEMAAH haji dinasihat jaga kesihatan sepanjang menjalani ibadat selama 45 hari. FOTO ihsan Lembaga Tabung Haji
Yusri Abdul Malek
yusri_malek@mediaprima.com.my


MAKKAH: Kesihatan yang baik adalah komponen terpenting kepada semua jemaah haji dalam menjalani ibadah umrah dan haji sepanjang 45 hari berada di Tanah Suci.

Namun, jika kesihatan ini diabaikan atau diambil mudah, ia pasti memberi kesan ke atas ibadah yang dilakukan.

Keadaan cuaca yang panas hingga mencecah suhu maksimum 43 darjah Celsius adalah cabaran terbesar jemaah pada masa ini.

Berikutan itu, Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menasihati semua jemaah menjaga kesihatan sepanjang masa dan tidak terdedah kepada terik matahari.

“Sepanjang musim haji ini dan musim akan datang dijangka panas.

“Kita jangka hari Wukuf adalah pada 10 Ogos. Jadi masa masih panjang lagi. Saya nasihatkan banyak minum air dan jangan terdedah kepada panas terik bagi mengelak strok haba,” katanya.


BEBERAPA jemaah mendapatkan rawatan di klinik Maktab 77 di Makkah, semalam. FOTO Azura Abas

Selain itu, bagi memastikan kesihatan jemaah berada dalam tahap terbaik, pihaknya akan menugaskan lebih ramai pegawai perubatan dalam kalangan kesihatan awam dan keluarga.

Katanya, setakat ini ada 60 pegawai perubatan bertugas dan 20 daripadanya adalah doktor kesihatan awam dan keluarga.

“Mereka akan melakukan tugasan pemeriksaan dari bilik ke bilik bagi mengesan mana-mana jemaah haji yang mengalami gangguan kesihatan.

“Jemaah yang mengalami masalah kesihatan akan dipantau dan disaring serta diberi rawatan segera,” katanya.

Syed Saleh berkata, pihaknya juga menyediakan klinik di Madinah dan Makkah, jadi jemaah boleh memanfaatkan kemudahan ini sepenuhnya dan ia adalah percuma.


JEMAAH haji Malaysia ketika menunaikan umrah di Makkah. FOTO ihsan Lembaga Tabung Haji

SYED Saleh. FOTO ihsan Lembaga Tabung Haji

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 2:15 PM