PEMANDU lori yang membawa muatan petrol tanpa permit ditahan Pasukan Polis Marin. FOTO ihsan PPM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


TINDAKAN pemandu lori membawa muatan petrol tanpa sebarang permit atau kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membawa padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Jalan Rancha-Rancha, Labuan semalam.

Dalam kejadian 10.15 pagi itu, lelaki berusia 46 tahun terbabit didapati membawa muatan 48 tong jerikin berisi 1,170 liter petrol yang diletakkan di bahagian belakang lori yang dipandunya.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tangkapan dan rampasan dibuat ketika anggotanya menjalankan Op Landai Khas di kawasan berkenaan.

“Lori berwarna putih dilihat dalam keadaan mencurigakan di laluan terbabit dan hasil pemeriksaan menemui 48 tong jerikin berisi 1,170liter petrol yang dianggarkan bernilai RM2,433.60.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, pemandu lori itu gagal menunjukkan permit atau kelulusan yang dikeluarkan oleh KPDNHEP dan dipercayai petrol diperoleh dari stesen minyak di Labuan untuk tujuan pasaran dan dijual semula tanpa sebarang permit,” katanya dalam kenyataan media di Labuan, hari ini.

Katanya lagi, rampasan itu dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Labuan membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kes diserahkan kepada KPDNHEP Labuan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Pajeri berharap kerjasama daripada masyarakat setempat dalam memberikan maklumat kepada PPM berterusan dan pihaknya sentiasa bersedia menggerakkan aset bersama pegawai dalam pelbagai operasi di perairan negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 9:59 AM