ANGGOTA Pasukan Polis Marin menahan bot nelayan dalam Ops Gelora. FOTO ihsan PPM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


TAKTIK nelayan bot pukat tunda memukat ikan dalam keadaan bergelap bagi mengelak dikesan melakukan aktiviti di kawasan tidak dibenarkan gagal apabila kegiatannya itu dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Pulau Manukan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, lelaki berusia 53 tahun ditahan PPM yang melakukan Ops Gelora di perairan terbabit.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bertindak atas maklumat yang diberikan oleh Unit Risikan Marin membawa kepada penahanan seorang nelayan di kawasan terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati, nelayan itu sedang leka menangkap ikan di kawasan perairan Pulau Manukan pada jarak kurang daripada tiga batu nautika dari persisiran pantai dan juga menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan.

“Nelayan itu memukat di kawasan yang tidak dibenarkan walaupun syarat lesen jelas menerangkan lokasi dan jarak menangkap ikan yang dibenarkan adalah di luar kawasan tiga batu nautika,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, semalam.

Katanya, siasatan lanjut mendapati modus operandi yang digunakan oleh nelayan bot berkenaan adalah menangkap ikan di kawasan berdekatan persisir pantai secara bergelap.

“Nelayan itu sanggup memukat dalam keadaan bergelap dengan memadamkan semua lampu bot bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Pajeri berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen,” katanya.

caption

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 9:01 AM