Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tiga sindiket pengedaran dadah tumpas manakala dua makmal dadah dibongkar dalam lima serbuan membabitkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM10 juta di Lembah Klang dan Selangor, Rabu lalu.

Malah, siasatan awal mendapati sindiket itu mampu tinggal di kawasan elit di ibu kota dan memiliki kereta mewah hasil aktiviti pengedaran dadah untuk pasaran tempatan serta luar negara.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, hasil maklumat dan risikan selama dua bulan, pihaknya menyerbu lima lokasi di Bukit Tunku dan Bandar Sri Damansara bermula jam 2.25 petang sehingga 7.15 malam.

Katanya, tangkapan membabitkan tiga lelaki berusia 30 hingga 50 tahun di mana dua makmal dadah ditemui dengan satu di Bukit Tunku dan satu lagi di Bandar Sri Damansara.

“Hasil serbuan kami merampas 59.25 kilogram (kg) dadah disyaki syabu, 197,580 pil ekstasi, 18.7kg serbuk dan cecair disyaki ketamin.

“Turut dirampas 365 gram candu, 92.25kg serbuk dan bahan kimia, 1.66kg daun kering disyaki dadah dan 9.96 kilogram serbuk ephedrine,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.


KAMARULZAMAN (tiga dari kiri) pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Kamarulzaman berkata, nilai rampasan pelbagai jenis dadah itu dianggarkan hampir RM10 juta dan mampu digunakan lebih 500,000 penagih dadah.

“Suspek juga tinggal di kawasan elit malah memiliki kereta mewah seperti Mercedes, Toyota Harrier, Toyota Alphard dan Volvo membabitkan nilai sitaan RM220,000.

“Turut dirampas dalam serbuan itu, wang tunai bernilai RM37,000 dan peralatan memproses dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 5:30 AM