Sulaiman dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mencuri pistol. FOTO Amran Yahya
Raja Noraina Raja Rahim dan Amran Yahya
am@hmetro.com.my


PESARA polis yang juga imam menitiskan air mata selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas kesalahan mencuri pistol, memiliki senjata itu dan peluru tanpa kebenaran.

Hukuman itu dijatuhi Hakim Nariman Badruddin selepas tertuduh, Sulaiman Abdul Rahman, 63, mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki Revolver .38 SPL 3 Smith&Wesson bernombor siri 335J43 tanpa kebenaran di rumah di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Selangor pada 11.40 pagi 27 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki tujuh butir peluru Winchester 38 Special, sebutir peluru 38 SPL dan sebutir peluru 38 SME tanpa kebenaran di lokasi, tarikh dan masa sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Sulaiman didakwa mencuri pistol berkenaan dan 30 peluru milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kaunter stor Cawangan Persenjataan Balai Polis Kuala Pilah pada 10 malam 27 Disember 2007.

Dia berdepan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Che Muji Che Noh.

Selepas mengambil kira pengakuan salah tertuduh, hujahan pihak pendakwaan dan rayuan peguam bela, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan pertama dan masing-masing penjara tiga tahun bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, semua hukuman berkenaan diarah berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap 24 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 3:35 PM