Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


SEBANYAK RM925 juta dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikembalikan setakat ini kepada Kementerian Kewangan, hasil usaha pihak berkuasa negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara, dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara, sedang berusaha mendapatkan kembali dana diselewengkan bagi membayar balik hutang 1MDB berjumlah lebih RM51 bilion, termasuk faedah pinjaman akan datang, yang dijamin Kerajaan Persekutuan.

“Setakat ini, jumlah keseluruhan dana berkaitan 1MDB yang berjaya didapatkan kembali adalah berjumlah RM925.1 juta (termasuk RM6.1 juta yang dipulangkan kepada Yayasan 1MDB) dalam mata wang pelbagai denominasi.

“Pecahan seperti berikut, Singapura (RM92.3 juta); Amerika Syarikat (Park Lane Hotel, Manhattan, RM567.8 juta,

Syarikat Pembikinan Filem Red Granite , RM238 juta; Malaysia (kepada Yayasan 1MDB, RM6.1 juta, kepada 1MDB, RM20.9 juta),” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Guan Eng berkata, organisasi dan parti politik Barisan Nasional (BN) seperti UMNO, MCA, dan SUPP telah menerima dana yang berpunca daripada 1MDB.

“Kini akaun bank parti politik terbabit telah pun dibekukan oleh SPRM, dalam usaha mendapatkan kembali dana berkenaan,” katanya.

Tegas beliau lagi, jumlah RM6.1 juta yang diterima kembali Yayasan 1MDB adalah daripada pelbagai pihak, namun Yayasan 1MDB belum lagi menerima sebarang bayaran daripada Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (KOJADI).

“Pada 16 Ogos 2012, satu perjanjian Financial Grant antara Yayasan 1MDB dan KOJADI untuk jumlah sebanyak RM15 juta ditandatangani. Selepas itu, dana itu diberikan kepada KOJADI oleh Yayasan 1MDB, dibayar masing-masing sebanyak RM5 juta pada 17 Ogos 2012, 22 Oktober 2012 dan 15 Mac 2013,” katanya.

Beliau berkata, jelas sekali, KOJADI dipengaruhi parti politik MCA dan campur tangan MCA dalam urusan KOJADI disahkan sendiri oleh Pengerusinya, Datuk Ng Peng Hay, yang juga bekas ADUN MCA dari Melaka.

“KOJADI perlu mengambil iktibar daripada usaha berani Pengerusinya untuk memulangkan semula wang kepada Yayasan 1MDB demi membersihkan nama KOJADI.

“Pada akhir Jun lalu, Pengerusi KOJADI menyatakan beliau dihalang oleh Presiden MCA daripada usaha memulangkan RM15 juta kepada Yayasan 1MDB.

“Pada 3 Julai lalu, SPRM membekukan akaun bank KOJADi, seterusnya pada 9 Julai, Pengerusi KOJADI digantung jawatannya oleh Lembaga Pengarah KOJADI akibat tindakan beliau yang jujur.

“Komitmen Pengerusi KOJADI untuk melakukan perkara yang betul dengan berusaha memulangkan wang kepada Yayasan 1MDB, sungguhpun berhadapan dengan pelbagai tindakan ke atasnya, harus dipuji,” katanya.

Selain itu Guan Eng berkata, harus ditegaskan bahawa dana berjumlah RM925 juta ini tidak termasuk hasil jualan kapal Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd sebanyak $AS126 juta (kira- kira RM527.4 juta).

“Hasil jualan itu sudah diterima sepenuhnya pada 23 April lalu dan kini disimpan di dalamSheriff’s Stakeholder Account (dalam sebuah syarikat guaman terkemuka di Malaysia) untuk tempoh tiga bulan bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui Perintah Mahkamah.

“Baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terbabit dijangka akan didepositkan ke dalam Recovery Account milik 1MDB atau Kementerian Kewangan pada Ogos nanti.

“Bila diterima $AS126 juta ini kelak, wang dana ini akan digunakan untuk melunaskan sebahagian daripada hutang 1MDB,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 1:21 PM