Keadaan chalet di Taman Negara Similajau yang musnah terbakar selepas disambar petir. FOTO Erika George
Erika George
cnews@nstp.com.my


SEBUAH chalet di Taman Negara Similajau di Bintulu musnah terbakar selepas disambar petir 5.30 pagi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 5.59 pagi.

“Sejurus sampai di lokasi, didapati api marak memusnahkan chalet setingkat jenis separuh kekal itu.

“Bomba melakukan kerja pemadaman dengan menggunakan satu aliran dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya 6.35 pagi,” katanya sambil memaklumkan tiada penghuni tinggal di chalet itu ketika kejadian.

Mohamad berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterima, kebakaran itu dikatakan berlaku akibat panahan petir.

“Penjaga chalet itu mendakwa ternampak petir menyambar chalet itu sebelum kebakaran merebak.

“Bagaimanapun, siasatan terperinci akan dijalankan oleh polis dan unit forensik kebakaran bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan berlakunya kebakaran itu,” katanya.

Difahamkan, kali terakhir chalet berkenaan disewakan kepada orang awam ialah 30 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 12:56 PM