BOMBA memadamkan kebakaran kereta akibat kemlangan di Kilometer 453 Lebuhraya PLUS arah utara di Sungai Buloh. FOTO IHSAN JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


SEORANG lelaki cedera selepas terjatuh daripada motosikal ditunggangi yang turut menyebabkan tiga kenderaan lain kemalangan di Kilometer 453 Lebuhraya PLUS menghala ke Rawang, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 6 pagi dikatakan berpunca akibat motosikal berkuasa tinggi jenis Harley-Davidson ditunggang mangsa terjatuh di lokasi menyebabkan tiga kereta terbabit dalam kemalangan termasuk sebuah daripadanya terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.12 pagi.

“Seramai enam anggota bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi. Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta jenis Toyota Camry terbakar sebelum berjaya dikawal beberapa minit kemudian.

“Difahamkan kejadian berpunca daripada sebuah motosikal terjatuh di lokasi berkenaan. Sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang mengelak motosikal itu memasuki lorong kiri.

“Sebuah kereta jenis Proton Persona yang berada di belakang Myvi menekan brek secara mengejut menyebabkan Toyota Camry gagal mengelak lalu merempuh Proton berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hazrin berkata, pemandu kereta Toyota Camry sempat menyelamatkan diri dengan keluar daripada kenderaannya dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika tiba di lokasi, kami mendapati penunggang motosikal sudah tiada di lokasi.

“Difahamkan penunggang motosikal hanya cedera di bahagian tangan sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 9:24 AM