Mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 322 LPT2, dekat Kerteh. (Gambar kecil) Keadaan kereta yang remuk. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


HASRAT suri rumah makan malam bersama pasangan sempena hari lahirnya tidak kesampaian apabila suaminya maut dalam kemalangan di Kilometer 322 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Plaza Tol Kerteh, malam tadi.

Suri rumah berusia 28 tahun yang dikatakan hamil anak kedua dilihat tidak dapat menahan sebak dan menangis teresak-esak di sisi mayat suaminya selepas bergegas ke lokasi kemalangan.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, suaminya, Mohd Shamsul Iftitah Husnan, 32, disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala selepas motosikal model Yamaha Lagenda ditunggang melanggar belakang kereta yang rosak di tepi lebuh raya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai pegawai di sebuah ladang sawit milik Felcra Kampung Wa Dungun menunggang bersendirian untuk pulang ke rumahnya di Bandar Seri Bandi sempena cuti hujung minggu.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa gagal mengelak kereta model Proton Wira Aeroback dipakir di tepi lebuh raya berkenaan akibat rosak.

“Mangsa dikatakan merempuh bahagian belakang kereta sebelum tercampak beberapa meter di atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, “katanya.

Katanya, keluarga mangsa yang bergegas ke lokasi sejurus mendapat maklumat mengesahkan mayat terbabit adalah ahli keluarganya.

“Mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 9:06 AM