SALLEH menunjukkan pemandangan hadapan Rumah Rehat Kuala Pilah yang terbiar dan ditumbuhi semak-samun.
Amran Yahya
am@hmetro.com.my


KUALA PILAH: Melihat keadaan Rumah Rehat Kuala Pilah di Jalan Bukit di sini, yang terbiar dan dipenuhi semak membuatkan ‘sakit mata’ memandang apatah lagi lokasinya terletak di laluan utama.

Selain mencacatkan pemandangan, bangunan lebih tujuh tahun itu terbiar dan tidak diselenggara turut berisiko roboh serta membahayakan keselamatan penduduk.

Tinjauan Harian Metro mendapati, rumah rehat itu terletak berhampiran Perpustakaan Daerah, Dewan Dato’ Bahaman, Mahkamah Kuala Pilah, Pejabat Agensi Anti dadah Kebangsaan (AADK) dan kediaman rasmi Pegawai Daerah.

Difahamkan, rumah rehat itu mula beroperasi pada 1992 mempunyai 10 bilik dan empat chalet dengan kadar sewa RM70 hingga RM200 semalam serta sering dijadikan tempat penginapan popular satu ketika dulu.

Pesara kerajaan, Salleh Ahmad, 63, berkata, keluarganya pernah menginap di rumah rehat itu pada 1999.

“Ketika itu, kemudahan hotel di daerah ini sangat kurang dan rumah rehat itu menjadi pilihan orang ramai. Saya dapati semua kemudahan termasuk bilik dan kafe disediakan memuaskan dan dalam keadaan baik.

“Bahkan, ketika itu saya turut mencadangkan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan dari luar daerah ini menggunakan rumah rehat itu jika berkunjung ke Kuala Pilah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Salleh berkata, dia kecewa melihat bangunan itu kini terbiar sedangkan ia mampu meraih pendapatan lumayan jika meneruskan operasi dan berharap pihak berkaitan membaik pulih kemudahan berkenaan.

Warga emas mahu dikenali sebagai Ameng, 70, mendedahkan bangunan itu pada asalnya rumah pegawai kanan kerajaan yang dinaik taraf sebagai rumah rehat.

“Ketika masih beroperasi, saya sering membawa keluarga makan malam di kafe di situ kerana makanannya sedap dan harga berpatutan.

“Saya difahamkan rumah itu dikosongkan kerana diambil alih pengusaha baharu. Namun, hingga kini bangunan itu terbiar dan menjadi sarang vandalisme,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah Syahrul Nizam Saleh, ketika dihubungi menjelaskan pihaknya mengiklankan bangunan berkenaan untuk diusahakan semula oleh pihak lain pada awal tahun ini.

“Bagaimanapun, hingga kini belum ada pihak tampil dan kami menunggu jika ada individu atau syarikat yang mahu mengambil alih rumah rehat itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 7:00 AM