Keadaan kereta yang terbabit kemalangan hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Fatihah Sulaini
am@hmetro.com.my


SUAMI isteri maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 73 Jalan Kuala Terengganu -Kota Bharu berhampiran Kampung Apek, Permaisuri hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa yang maut ialah pemandu dan penumpang Perodua Kancil iaitu Wan Jusoh Wan Sudin, 68 dan isterinya, Rokiah Hamid, 65, beralamat

Kampung Padang, Permaisuri, Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu dari arah Kota Bharu menghala ke Bandar Permaisuri masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta mangsa bertembung dengan Toyota Camry yang datang dari arah bertentangan di lokasi.

“Mangsa dan penumpang maut di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Camry beralamat di Johor luka di kepala dan penumpangnya tidak cedera.

“Mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mustafa Ismail berkata, mereka menerima panggilan pada 1.28 tengah hari dan sembilan anggota bergegas ke lokasi.

“Pemandu Kancil tersepit di tempat duduk manakala isterinya sudah dibawa keluar oleh orang awam.

“Kami mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan peralatan khas sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 8:22 PM