DUA anak Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh menadah air bersih disediakan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk memasak. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh di sini, memotong bekalan air tadahan bukit sejak seminggu lalu kerana mendakwa ia tidak selamat untuk digunakan.

Mereka mendakwa bekalan air tadahan bukit disediakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu dipercayai menjadi punca serangan demam campak di kampung berkenaan sehingga menyebabkan 15 kematian, baru-baru ini.

Penduduk, Mamat Ong, 30, berkata, penduduk memotong paip daripada tadahan air bukit itu kerana dikhuatiri tercemar dan bimbang serangan penyakit berkenaan berulang.

“Kami sanggup pergi ke anak sungai berhampiran kampung untuk membasuh pakaian dan mandi selepas air tadahan bukit dipotong.

“Penduduk bimbang untuk guna air bukit bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Ani Ong, 35, berkata, dia bersama lima anaknya tidak dapat mandi dan membasuh pakaian sejak kelmarin berikutan air di dalam tangki simpanan sudah habis digunakan.

“Kini, kami berdepan masalah bekalan air bersih selepas air tadahan bukit dipotong dan berharap pihak berkaitan turun padang untuk selesaikan masalah kami,” katanya.


TADAHAN air bukit yang dipotong Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh. FOTO Ramli Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 8:43 AM