PENDUDUK Kampung Empa menggunakan jambatan untuk melakukan aktiviti harian.
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


POKOK SENA: Kira-kira 500 penduduk terjejas apabila jambatan besi yang menghubungkan Kampung Empa, Pokok Sena dan Kampung Wang Tepus, Jitra, di sini semakin uzur, reput dan hampir menyembah bumi.

Penduduk di Kampung Empa terutamanya terpaksa membahayakan nyawa sendiri berikutan jambatan merentangi Sungai Padang Terap itu adalah laluan utama mereka, termasuk menghantar anak ke sekolah.

Seorang penduduk, Mat Isa Puteh, 69, berkata, beberapa bahagian jambatan itu sudah lekang dan lantai turut reput apabila dilihat dari bahagian bawah jambatan.

“Strukturnya tidak lagi kukuh selain tiang rasuknya sudah lekang daripada kedudukan asal, penghadang kiri dan kanan pun hampir nak runtuh, sesiapa yang pernah melalui jambatan ini pasti dapat rasa ia bergoyang.

“Kami pernah minta penduduk yang memiliki bot untuk melihat bahagian bawah jambatan, memang keadaannya sudah uzur dan reput.

“Jambatan besi ini sudah berusia 25 tahun, jadi saya bimbang jika dibiarkan suatu hari nanti akan berlaku kejadian tidak diingini terutama kepada pelajar,” katanya ketika ditemui.

Pengetua sebuah sekolah yang juga penduduk Kampung Empa, Rusma Abu Hassan, 54, berkata, tahun lalu, pihak berwajib sudah memasang papan tanda amaran jambatan itu ditutup kepada semua kenderaan kecuali motosikal.

Bagaimanapun, penduduk kampung terpaksa membuang papan tanda itu dan bergotong royong untuk memateri pada bahagian yang didapati lekang dan reput.

“Sudah banyak kali penduduk kumpul duit dan pateri sendiri bahagian yang lekang, jika tak buat begitu, sukar untuk kami keluar bekerja, saya pula memandu kereta untuk ke sekolah di Pendang setiap hari.

“Ada lagi satu jalan lain untuk keluar dari Kampung Empa tapi jalan itu terlalu sempit dan gelap selain jauh iaitu kira-kira lima kilometer (km), jika gunakan jambatan ini hanya satu km,” katanya.

Justeru, Rusma berharap pihak bertanggungjawab dapat segera membaik pulih atau menaik taraf jambatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 7:00 AM