MOHD Shahril (kiri) bersama pelanggan dan jerami padi yang dijualnya.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


HULU TERENGGANU: “Jualan lembu perlahan sekarang, kami perlu cari inisiatif lain untuk tampung kos penternakan haiwan itu,” kata Mohd Shahril Mustapha@Harun, 37.

Dia antara penternak lembu baka di negeri ini yang kini aktif mencari pendapatan sampingan dengan menjual jerami padi di ladang ternakannya di Kampung Chepoh, Telemong, di sini.

Shahril berkata, dia mula membabitkan diri dalam perniagaan menjual jerami padi sejak Disember tahun lalu dan kini mampu menjual lebih empat tan sebulan.

“Hasil jualan jerami padi diambil dari Perlis mampu menampung kos penternakan 11 lembu baka yang saya usahakan.

“Permintaan terhadap jerami padi tinggi dalam kalangan penternak kerana kelebihannya seperti tahan lama dan senang untuk disimpan.

“Jerami padi menjadi makanan alternatif bagi menggantikan makanan lembu seperti palet yang harganya sentiasa meningkat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Shahril berkata, jerami dijual dengan harga 68 sen bagi satu kilogram (kg) biasanya dibeli pelanggan tetap terdiri daripada penternak lembu dan kambing dari semua daerah termasuk Setiu serta Hulu Terengganu.

JERAMI padi menjadi makanan alternatif haiwan ternakan.

“Biasanya, setiap pelanggan membeli 250kg dan ia mampu bertahan selama sebulan untuk 20 ternakan.

“Memandangkan tidak ramai yang menjual jerami padi di negeri ini, saya secara tidak langsung membantu penternak yang memerlukannya,” katanya.

Shahril berkata, selain jerami padi dia turut menjual pisau sembelih dan pelbagai vitamin untuk ternakan bagi menjana pendapatan sampingan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 6:00 AM