Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


TAKTIK 16 wanita warga asing bersembunyi di sebalik pintu rahsia gagal apabila dihidu polis dalam satu serbuan di premis urutan refleksologi di Pusat Bandar Puchong, petang semalam.

Tindakan licik semua wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun itu bertujuan mengelakkan diri daripada dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun usaha mereka dipatahkan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menyerbu dan menahan mereka pada 6 petang.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan mengenai aktiviti tidak bermoral di premis berkenaan.

“Ketika serbuan, kami dapati premis terbabit lengang, namun pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan satu pintu rahsia di dalam sebuah bilik di pusat urutan itu.

“Pemeriksaan lanjut menemui 16 wanita terdiri daripada warga Vietnam dan Indonesia berada di sebalik pintu rahsia berkenaan yang dijadikan sebagai lokasi persembunyian mereka,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya turut merampas dua botol minyak urut, gel pelincir, kondom dan wang tunai berjumlah RM189.

Beliau berkata, semua individu terbabit dibawa ke balai polis berdekatan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen55B Akta Imigresen, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen, Seksyen 3 Undang-Undang Kecil 1995 dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan pihaknya menahan dua individu di dua kedai runcit yang menjual nombor ekor tanpa lesen.

“Kedua-dua premis terbabit dikesan menjalankan perjudian nombor ekor tanpa lesen.

“Dua lelaki warga tempatan itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.


WANITA warga asing dikesan bersembunyi di sebalik pintu rahsia bagi mengelakkan ditahan polis dalam serbuan di premis urutan refleksologi di Puchong, petang semalam. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 12:37 AM