SAKIT abdomen yang kerap mungkin sindrom usus rengsa, atau IBS.
VITAGEN

RAMAI yang tidak mengambil endah apabila kerap sakit perut, mengalami ketidakselesaan abdomen kronik, perut kembung, sembelit atau najis cair.

Mulalah pelbagai andaian timbul, mungkin disebabkan kurang rehat, silap makan atau minum serta banyak lagi.

Namun, jika gejala ini berulang tanpa sebab diketahui, kemungkinan berisiko besar mengalami sindrom sistem penghadaman rengsa atau irritable bowel (IBS).

IBS banyak berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi tidak ramai peduli malah bersikap ambil mudah dan hanya menahan 'sakit perut' dengan bergantung kepada ubat-ubatan tradisional atau herba.

Hakikatnya, dianggarkan 10 hingga 20 peratus orang di seluruh dunia mengalami IBS.

Di Malaysia, data dimiliki amat terhad tetapi berdasarkan beberapa kaji selidik menganggarkan sekitar 10 hingga 16 peratus mengalaminya.

Ini bermaksud, setiap seorang dalam enam orang di Malaysia mungkin sakit dalam diam tanpa menyedari penyakit yang dihidapinya.

Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Gastroenterologi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr Raja Affendi Raja Ali berkata, IBS merupakan koleksi gejala gastrousus yang berlaku tanpa sebab fizikal yang jelas atau boleh dikesan.

Katanya, simptom utama IBS ialah sakit abdomen, perubahan tabiat buang air besar, kembung perut, kejang perut, cirit-birit dan sembelit.

“IBS boleh dibahagikan kepada beberapa jenis dan perbezaan jenis digambarkan dengan kombinasi simptom berlainan dialami pesakit.

"Disebabkan simptom yang tidak khusus, IBS boleh disalah diagnos dengan penyakit lain tetapi demam, hilang berat badan, sakit berterusan atau najis berdarah tidak dianggap sebagai simptom IBS sebaliknya boleh menunjukkan kepada masalah lain.

"Oleh itu, siasatan terperinci oleh pakar perubatan profesional adalah wajar untuk mengesahkan IBS seterusnya menguruskan simptomnya.

"Ini kerana pencetusnya mungkin berbeza bagi setiap orang dan lebih baik jika mengawasi pencetus itu dan cuba elakkannya," katanya.

Jenis IBS

1. IBS dengan predominan sembelit (IBS-C atau IBS with predominant constipation).

2. IBS dengan predominan-cirit-birit (IBS-D atau IBS with predominant diarrhoea)

3. IBS dengan tabiat buang air besar bercampur (IBS-M atau IBS with mixed bowel habits)

4. IBS tanpa subjenis (IBS-U atau IBS unsubtyped).

Pencetus IBS

• Pencetus pemakanan untuk IBS-C: bijian halus, makanan diproses, kopi, air berkarbonat, alkohol, diet protein tinggi, produk tenusu.

• Pencetus pemakanan untuk IBS-D: terlalu banyak fiber, coklat, kafein, alkohol, fruktosa, sorbitol, air berkarbonat, hidangan yang besar, makanan bergoreng dan berlemak, produk tenusu, gandum.

• Pencetus ubat-ubatan: antibiotik, sesetengah antidepresan, ubat mengandungi sorbitol.

• Pencetus tekanan dan keresahan.

• Pencetus haid.

• Pencetus lain: sesetengah jenis makanan tertentu bagi pesakit IBS, makan terlalu cepat atau dengan gangguan, kurang bersenam, kurang tidur dan lain-lain.

Apakah kesan IBS terhadap kehidupan?

Menurut Dr Raja Affendi, IBS mungkin tidak mengancam nyawa tetapi ia sememangnya boleh memberi kesan kepada kualiti hidup seseorang.

“Gejala boleh berlaku tanpa dijangka dan akan mengganggu rutin harian termasuk pekerjaan umumnya dan kualiti kesejahteraan hidup secara keseluruhan.

“Langkah pertama dalam menangani IBS adalah dengan mengenali dan mengdiagnos bahawa anda mengalami IBS.

"Mengetahui punca masalah akan membantu anda mencari penyelesaian atau sekurang-kurangnya cara terbaik menguruskannya.

"Jika anda mengesyaki mengalami IBS, penting untuk mendapatkan bantuan dengan segera dan mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan profesional," katanya.

Tahukah anda?

Hari ini penyelidik mewujudkan pelbagai strategi untuk menangani IBS termasuk pemakanan khas, ubat khas, terapi khas dan alternatif lain.

Berdasarkan kepada program penghadaman sihat VITAGEN, satu daripada cara yang berkesan ialah probiotik. Kajian yang dijalankan oleh Kumpulan Penyelidikan Usus di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2018 mendapati pengambilan harian minuman susu berkultur yang mengandungi kultur probiotik hidup, Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus paracasei oleh pesakit IBS-C dapat mengurangkan simptom sembelit, masa transit sistem penghadaman dan pH najis.

Artikel ini ihsan daripada Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM) dan Program Penghadaman Sihat VITAGEN, sempena kempen kesedaran Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2019.

Profesor Dr Raja Affendi Raja Ali ialah Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Gastroenterologi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Beliau juga Timbalan Pengerusi Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia. Beliau tidak berkaitan dan tidak menyokong mana-mana jenama atau produk. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-56323301.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 5:41 PM