TERTUDUH diiringi polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Norizuan Shamsuddin.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


JURUWANG bank yang mengandung enam bulan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas dua tuduhan pecah amanah membabitkan RM2 juta.

Tertuduh Diyana Remle, 30, dari Dungun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azman Mustapha, selepas semua pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh selaku juruwang RHB Bank cawangan Dungun didakwa menyalahgunakan wang Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik pelanggan sebanyak RM430,000 yang diamanahkan kepadanya pada 14 Disember 2017 sehingga 12 Disember 2018.

Bagi pertuduhan kedua, Diyana didakwa melakukan perbuatan sama dengan menyalahgunakan wang ASB pelanggan berjumlah RM1,580,000, di bank sama pada 19 Disember 2018 sehingga 26 Mac lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan, dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 4:15 PM