Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


POLIS menumpaskan sindiket ‘Love Scam’ selepas menahan 15 warga Afrika termasuk dua wanita yang dipercayai melakukan penipuan membabitkan kerugian lebih RM1.55 juta, sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, penahanan 13 lelaki dan dua wanita warga asing itu dilakukan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri pada 2 hingga 7 Julai lalu.

Beliau berkata, semua suspek berusia 25 hingga 43 tahun itu ditahan di tiga rumah sewa di Port Dickson, Mambau dan Puchong, Selangor.

Katanya, penahanan itu susulan laporan dibuat seorang lelaki berusia 38 tahun yang mendakwa ditipu lelaki dikenali melalui laman sosial Facebook menyebabkan kerugian RM27,260.

“Mangsa berkenalan dengan individu bernama Oliver Cheng Li dipercayai warganegara Singapura dan bekerja sebagai juruterbang di Vietnam Airlines.

“Suspek tawarkan pekerjaan kepada mangsa dan perlu hadiri temu duga.

“Pada 18 Januari lalu, mangsa memasukkan wang ke dalam tiga akaun berbeza. Mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas gagal menemui suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan di Seremban, semalam.

Mohamad berkata, hasil siasatan ke atas akaun diberikan, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 54 tahun yang dijadikan keldai akaun oleh sindiket berkenaan.


MOHAMAD (tengah) menunjukkan barang rampasan sindiket 'Love Scam' selepas menahan 15 warga Afrika termasuk dua wanita pada sidang media di IPK Negeri Sembilan di Seremban. FOTO ADZLAN SIDEK.

Katanya, siasatan mendapati wanita itu adalah kekasih kepada salah seorang anggota sindiket Love Scam.

“Bertindak atas soal siasat ke atas wanita itu, kami menahan 15 warga Afrika terbabit. Pemeriksaan mendapati empat suspek mempunyai pasport manakala sembilan suspek memiliki pas lawatan sosial dan dua penuntut kolej swasta.

“Setakat ini, sebanyak 33 kes dilaporkan sejak 2017 hingga Mei lalu dikenal pasti membabitkan sindiket itu. Ia berdasarkan semakan di telefon bimbit dan komputer riba dirampas polis.

“Jumlah kerugian lebih RM1.55 juta membabitkan 14 akaun bank digunakan sindiket berkenaan. Semua suspek kini direman 14 hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohamad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut terbabit dalam banyak lagi kes penipuan lain dan siasatan sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 12:22 AM