PEMANDU lori 10 tan merempuh tembok Plaza Tol Batu 9 Cheras di Lebuhraya Grand Saga selepas kenderaan itu mengalami masalah brek, hari ini. FOTO ihsan polis.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


SEORANG pemandu lori mengambil keputusan nekad merempuh tembok plaza tol bagi mengelak lori 10 tan dipandu melanggar kenderaan dan pengguna jalan raya lain dalam kejadian di Plaza Tol Batu 9 Cheras, Lebuhraya Cheras-Kejang (Grand Saga), Kajang, 4.40 petang hari ini.

Tindakannya itu terpaksa dibuat berikutan lori dipandu mengalami masalah brek tidak berfungsi dan gagal dihentikan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, pemandu berkenaan membuat keputusan melanggar tembok plaza tol berkenaan sebaik menyedari lorinya mengalami masalah brek.

“Sebaik menghampiri kawasan plaza tol berkenaan, pemandu lori itu menyedari brek lorinya mengalami masalah.

“Selepas cubaan menghentikan lori itu gagal, pemandu itu membuat keputusan merempuh tembok plaza tol terbabit bagi mengelak daripada melanggar kenderaan serta pengguna jalan lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan lori terbabit rosak pada bahagian hadapan, namun pemandunya selamat dan tidak cedera.

“Lori berkenaan dibawa balik ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang bagi proses pemeriksaan dan siasatan lanjut.

“Bagaimanapun, atas kejadian itu, polis terpaksa mengeluarkan saman mengikut Rule 10 LN 166/59 kepada pemandu atas kesalahan gagal mengawal kenderaan yang dipandu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 10:36 PM