MOHD Shahar menunjukkan akhbar Harian Metro hari ini ketika perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini. FOTOMohamad Shahril Badri Saali.
Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


KERAJAAN meneliti semula undang-undang berkait Jabatan Perikanan dan Jabatan Imigresen bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas nelayan asing yang menceroboh perairan Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, kerajaan menyedari keperluan itu dan menyifatkan tindakan lebih agresif dapat menangani pencerobohan yang masih aktif.

“Saya pun menyedari hakikat bahawa tindakan yang sudah pun kita ambil berkesan juga, dengan jumlah kes yang bertambah (sebelum ini) ada penurunan (selepas penguatkuasaan) jika dibandingkan sebelum operasi dijalankan.

“Ada dua jawatankuasa utama, yang menjalankan operasi dipimpin Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan satu lagi jawatankuasa mengenai dasar dan perundangan kerana didapati antara masalahnya adalah tindakan dan hukuman dikenakan tidak begitu berat.

“Disebabkan itu, kajian daripada jawatankuasa ini untuk meneliti undang-undang yang utama di bawah Jabatan Perikanan dan Jabatan Imigresen, jika perlu dipinda dan dibawa ke sini (Dewan Rakyat) untuk hukuman lebih berat, maka akan kita laksanakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Jelutong R Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang mengambil tindakan agresif seperti China bagi menangani isu pencerobohan nelayan asing, pada sesi Waktu Pertanyaan Lisan Menteri (MQT).

Harian Metro (HM) dalam laporan ekslusif hari ini mendedahkan isu pencerobohan nelayan asing dengan pengakuan orang tengah yang mendakwa sikap tamak pengusaha bot tempatan memberi manfaat kepada nelayan Vietnam.

Pengakuan itu disokong tinjauan wartawan Skuad Khas Harian Metro yang melihat banyak bot klon di beberapa wilayah di Vietnam, didapati bebas menangkap ikan di perairan Malaysia selepas membeli lesen dari tauke nelayan tempatan pada harga antara RM40,000 hingga RM100,000 selain bayaran bulanan RM8,000 hingga RM12,000.

Dalam pada itu, persidangan Dewan Rakyat turut merujuk pendedahan HM susulan isu pencerobohan nelayan asing, bermula dengan Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah yang mengangkat dan menunjukkan laporan muka depan akhbar itu.

Beliau berbuat demikian ketika mencelah Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) yang menjadi pembahas pertama daripada 40 wakil yang membahaskan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 bagi Bacaan Kedua.

“Saya yakin apa yang disebut PH-Kuala Kedah berkaitan nelayan Vietnam dan seperti yang dilaporkan Harian Metro jelas menunjukkan adakah klon bot ini menyebabkan pindaan akta perlu dibuat?

“Adakah keterlibatan (pembabitan) pegawai kerajaan kerana huraian yang disiasat wartawan Harian Metro adanya campur tangan pihak dalam untuk meluluskan lesen?” katanya.

Celahannya mendapat reaksi sama daripada Ahli Parlimen lain termasuk Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (PH-Mersing) yang mengesyorkan kolaborasi dan perbincangan mengenai isu itu dibuat dengan semua negara ASEAN.

Hampir semua Ahli Parlimen menyertai perbahasan itu menyokong tindakan tegas diambil supaya isu pencerobohan nelayan Vietnam diatasi.

Berita berkaitan

An Thuan buka rahsia [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 4:12 PM