FOTO Hiasan
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


PADAH menggunakan motosikal bakal ibu mentua untuk menyamun, pasangan kekasih ditahan polis berhampiran rumah mereka di Flat Temenggong, Kulai, selepas saksi berjaya mengecam nombor pendaftaran motosikal berkenaan.

Difahamkan, suspek lelaki berusia 28 tahun menggunakan senjata tajam dipercayai pisau untuk menyamun seorang lelaki di hentian bas Saleng, jam 2.05 pagi pada 3 Julai lalu.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu berjaya menghafal nombor pendaftaran motosikal milik ibu kekasihnya sebelum menyalurkan maklumat kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada seorang lelaki mendakwa disamun pada jam 3.20 pagi, hari sama.

“Bertindak atas laporan, sepasukan polis menjalankan siasatan dan risikan sebelum melakukan serbuan tengah malam tadi lalu menahan pasangan terbabit di bawah blok flat berkenaan.

“Hasil siasatan awal, pasangan ini mengaku menyamun mangsa lalu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.

“Selain menahan lelaki berusia 28 tahun dan kekasihnya berusia 23 tahun, polis turut merampas motosikal jenis Suzuki Axelo 125, topi keledar, serangkai kunci dan alat kawalan jauh kereta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, suspek lelaki dikehendaki polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379 A(1) Kanun Keseksaan.

Katanya, selain itu, suspek lelaki turut memiliki dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek wanita tiada rekod lampau.

“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek lelaki positif dadah manakala kekasihnya negatif.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 15 Julai depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 3:53 PM