WARTAWAN dibawa melawat Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kemas dan teratur. Itu keadaan yang dapat dilihat di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, di sini, yang menjadi tempat pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan sementara sebelum diusir ke negara asal mereka.

Ia sekali gus berbeza dengan dakwaan dilemparkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dari Filipina, minggu lalu.

Lawatan wartawan ke depot berkenaan mendapati kemudahan disediakan kepada tahanan termasuk taman permainan kanak-kanak dilengkapi sudut bacaan, alat permainan, alat tulis, kerusi dan kolam mandi mudah alih.

Malah, tahanan wanita yang mengandung dan mempunyai anak turut disediakan katil, tilam serta bantal untuk keselesaan mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pelbagai dakwaan dilemparkan NGO itu yang mendakwa pihaknya memberikan layanan buruk di depot tahanan berkenaan.

“Berhubung dakwaan tahanan diletakkan dalam sel yang padat dan tidur di atas lantai adalah tidak benar. Bagi tahanan wanita, mereka ditempatkan dalam sel mengikut kapasiti ditetapkan dan jika mereka mempunyai anak, mereka akan ditempatkan di sel khas dilengkapi katil, tilam dan selimut.

“Malah, dakwaan kanak-kanak ‘didera’ secara lisan oleh pegawai Imigresen juga tidak benar memandangkan depot ini adalah depot yang mesra kanak-kanak dengan kelengkapan ruang permainan disediakan untuk mereka,” katanya dalam sidang media di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, semalam.

Beliau menjawab dakwaan dilemparkan oleh NGO terbabit berkaitan penahanan kanak-kanak dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen (Op Pintu) pada 14 Jun lalu yang membawa kepada penahanan lapan individu warga asing termasuk tiga kanak-kanak di sebuah apartmen di Kajang, Selangor.

Ketika tangkapan, penjaga diminta menghubungi ibu kanak-kanak berkenaan untuk membawa dokumen mereka, namun gagal dihubungi.

Dalam tempoh siasatan, semua tahanan ditahan di depot berkenaan sebelum mendapat keputusan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk mengusir mereka ke negara asal pada 3 Julai lalu.


DEPOT Tahanan Imigresen Bukit Jalil dilengkapi dengan ruang permainan kanak-kanak.

Bagaimanapun, sebaik tiba di Manila, tahanan membuat kenyataan negatif mengenai pengalaman dan layanan buruk terhadap mereka sepanjang berada dalam tahanan JIM.

Khairul Dzaimee berkata, dakwaan tahanan yang menyatakan barangan peribadi mereka dicuri oleh pegawai Imigresen dan pulang dengan beg sandang saja juga tidak benar.

“Ketika dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mereka didapati mempunyai pakaian dan barangan peribadi sudah diserahkan ketika dikeluarkan dari depot untuk tujuan pengusiran.

“Prosedur penerimaan dan penyerahan harta tahanan adalah dalam arahan tetap Ketua Pengarah Imigresen mengenai pentadbiran dan pengurusan depot,” katanya turut menjawab beberapa dakwaan lain oleh NGO itu.

Antara dakwaan itu adalah pegawai Imigresen melakukan pemeriksaan setiap lima minit dan menengking tahanan, diberikan makanan untuk binatang, tahanan hanya dibenarkan memakai sepasang baju, selain perlu membeli air serta tahanan dikatakan digari ketika berada di dalam sel.

Beliau menegaskan, semua prosedur diambil JIM dilaksanakan secara berhati-hati bagi mengelak sebarang kemungkinan elemen eksploitasi terhadap kanak-kanak dan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 6:01 AM