IKAN dirampas daripada bot pukat tunda yang ditahan kerana menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai di perairan Pulau Talang, Segari, Manjung, hari ini. FOTO ihsan Jabatan Perikanan.
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


JABATAN Perikanan Perak menahan tiga bot pukat tunda tempatan bersama sembilan kru warga Thailand yang disyaki menangkap ikan di kawasan larangan iaitu kurang 15 batu nautika dari pantai di perairan Pulau Talang, Segari, Manjung, hari ini.

Tiga bot berpangkalan di Bagan Panchor, Pantai Remis itu ditahan antara 9.30 pagi hingga 11.30 pagi di lokasi berasingan di kawasan perairan berkenaan.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata, ketika ditahan semua bot berkenaan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda.

Beliau berkata, bot pertama ditahan di kedudukan sembilan batu nautika Pulau Talang, Segari, manakala bot kedua ditahan di kedudukan 10.5 batu nautika Pulau Talang dan sebuah lagi ditahan di 11 batu nautika di lokasi sama.

“Turut ditahan sembilan kru warga Thailand berusia antara 26 hingga 66 tahun dengan tiga kru berkerja di setiap bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga bot berkenaan melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai selain turut didapati menggunakan pekerja asing tanpa permit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mansor berkata, bot berkenaan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 200 kilogram pelbagai jenis ikan dengan nilai anggaran rampasan keseluruhan RM1.8 juta.

Menurutnya, tindakan bot berkenaan bukan sahaja menceroboh kawasan tangkapan ikan nelayan tradisional, malah kegiatan itu boleh merosakkan sumber ikan terutama anak ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 10:04 PM