ANGGOTA penguat kuasa MDS melakukan operasi Operasi Bersepadu Haiwan Merayau di sekitar Setiu. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini
am@hmetro.com.my


ANGGOTA penguat kuasa Majlis Daerah Setiu (MDS) berdepan detik cemas apabila sekawan lembu bertukar agresif ketika Operasi Bersepadu Haiwan Merayau dilakukan berhampiran stesen minyak di Merang, hari ini.

Operasi itu dilakukan bagi menangkap haiwan ternakan seperti lembu dan kambing yang berkeliaran, terutama di kawasan jalan raya, susulan jumlah kemalangan kenderaan membabitkan haiwan itu meningkat di Setiu.

Penguatkuasa Kanan MDS, Irami Ismail, berkata kejadian berlaku ketika mereka menjalankan operasi bersama ahli majlis dan dua anggota polis dengan menghalau lembu berkeliaran di tepi jalan ke arah perangkap jaring yang dipasang.

Beliau berkata, empat lembu itu mulanya mengikut arahan, tetapi apabila masuk ke dalam perangkap itu, ia terus bertindak agresif untuk keluar daripada jaring itu.

“Disebabkan itu perangkap jaring berharga RM500 rosak teruk sehingga operasi yang sepatutnya disambung pada malam ini terpaksa dihentikan sementara.

“Operasi hari ini bermula dari Gong Batu hingga ke Merang disertai 15 anggota penguat kuasa, termasuk ahli majlis dan dua pegawai polis dan kejadian perangkap jaring rosak ini kali pertama berlaku,” katanya selepas Operasi Bersepadu Haiwan Merayau di Penarik, Permaisuri, hari ini.

Irami berkata, dalam operasi itu, pihaknya menangkap dua kambing yang berkeliaran di Kampung Fikri dan seekor lembu di Kampung Pengkalan Gelap.

Menurutnya, semua ternakan itu sudah dituntut pemiliknya dengan setiap seekor ternakan yang ditangkap itu dikenakan kompaun RM250.

Katanya, operasi dilakukan secara berkala setiap bulan susulan jumlah kemalangan membabitkan haiwan berkeliaran meningkat kepada 61 kes dari Januari sehingga Jun lalu di Setiu.

“Sepanjang tempoh itu kita sudah membuat tangkapan 33 haiwan berkeliaran berbanding 23 ekor pada tahun sebelumnya.

“Aspek keselamatan anggota penguat kuasa juga menjadi keutamaan sepanjang operasi kerana kami hanya bergantung kepada alatan manual seperti perangkap jaring dan tali sahaja,” katanya.

Katanya, pihaknya turut meminta bantuan ketua kampung dan imam masjid memaklumkan kepada pemilik supaya mengawasi ternakan daripada berkeliaran hingga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 5:46 PM