Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


KANAK-kanak perempuan warga Myanmar berusia lapan tahun dicabul rakan bapanya di rumah mangsa di Taman Seri Bayu, Ampang kelmarin.

Kejadian 10 pagi itu disedari ibu mangsa berusia 25 tahun apabila mendapati anak perempuannya dalam keadaan berbogel bersama lelaki warga Myanmar, 30, dalam bilik kanak-kanak itu sebelum lelaki terbabit melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, bapa mangsa, 32, kemudian mencari suspek sebelum menemuinya di tepi jalan di Taman Seri Bayu 9 malam tadi.

“Bapa mangsa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan menahan suspek sebelum lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.

“Siasatan mendapati ketika kejadian ibu mangsa keluar untuk membeli barangan runcit di kedai berhampiran dan meninggalkan kanak-kanak itu bersama adik perempuannya berusia tujuh bulan di bilik tidur kerana mereka sedang tidur.

“Selepas 10 minit kemudian, wanita itu pulang dan mendapati suspek dalam keadaan separuh bogel tanpa seluar sedang menindih kanak-kanak berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Azmi berkata, suspek dikatakan tinggal serumah dengan mangsa sejak tiga bulan lalu dengan menyewa bilik berlainan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kecederaan fizikal pada anggota badan mangsa malah tiada kesan koyakan pada kemaluan mangsa yang kini ditahan di hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Suspek direman 14 hari bermula hari ini sehingga 21 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 5:27 PM