Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Sumber Manusia tidak ada kena mengena dengan isu lambakan pekerja asing, termasuk pekerja dari Bangladesh ke negara ini.

Sebaliknya, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, perkara berkenaan adalah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Ramai orang tak faham. Menteri Sumber Manusia tak proses orang (urusan pekerja asing).


KULASEGARAN (Gambar Arkib NSTP). Gambar kanan mengenai laporan eksklusif Harian metro 5 Julai lalu mengenai aktiviti pelacuran yang membabitkan warga Bangladesh.

“Pihak yang membuat keputusan untuk membenarkan, mengurangkan, meningkatkan atau tidak membenarkan pekerja asing (bekerja di negara ini) adalah KDN.

“Perkara itu bukan tanggungjawab saya (Kementerian Sumber Manusia),” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kebanjiran pekerja Bangladesh yang menggusarkan masyarakat sebab pekerja asing itu semakin melampau apabila dipercayai terbabit dalam sindiket pelacuran wanita Bangladesh di negara ini.

Sabtu lalu laporan ekslusif Harian Metro menyiarkan mengenai senario di sekitar Jalan Silang dan Kotaraya yang dikuasai Bangladesh bukan sahaja mengusahakan perniagaan halal, malah haram seperti pelacuran wanita senegara mereka.

Laporan itu susulan empat premis pelacuran didalangi sindiket Bangladesh di kawasan berkenaan digempur Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman dengan kolaborasi Skuad Khas Harian Metro melakukan intipan sebulan.


KULASEGARAN (tengah) mengenakan klip pada topi keledar kakitangan PERODUA sambil diperhatikan Mohammed Azman (dua kanan) dan Zainal Abidin (tiga kanan). FOTO Rosdan Wahid

Sementara itu, Kulasegaran yang hadir merasmikan majlis pelancaran Kempen Perjalanan Selamat Ke Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, majikan perlu menekankan kempen itu dalam kalangan pekerja mereka.

“Sehingga Jun tahun ini sebanyak 289 program advocacy (sokongan) majikan di seluruh negara sudah dilaksanakan.

“Dijangka mencapai sasaran 480 majikan apabila berakhirnya kempen ini Oktober nanti,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan kempen itu, di Pusat Kecemerlangan Perodua Sungai Choh, Rawang hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengerusi PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 5,870 kematian direkodkan daripada 536,250 kes kemalangan tahun lalu.

Menurutnya, statistik Perkeso pula menunjukkan kemalangan ketika ulang-alik ke tempat kerja mencatatkan peningkatan 5.8 peratus kepada 35,243 kes tahun lalu berbanding 33,324 kes tahun sebelumnya.

“Bagi kes kemalangan maut, seramai 669 pekerja terkorban ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau dua pertiga daripada keseluruhan 891 kes kemalangan maut direkodkan 2018.

“Penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang statistik terbanyak kes maut akibat kemalangan ini.

“Amat mengecewakan, walaupun pemakaian topi keledar adalah wajib, namun ia diambil mudah apabila hanya 76 peratus pemakaian topi keledar dicatatkan di Malaysia,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan mengambil berat dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Berita berkaitan

Macam di Kandapara

Empayar dagang orang [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 4:33 PM