Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


PEKERJA kedai serbaneka 24 jam berdepan detik cemas apabila disamun lelaki memakai apron yang menyamar pelanggan di Teluk Kemang, Port Dickson kelmarin.

Difahamkan, lelaki itu masuk ke premis berkenaan pada 4.57 pagi manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam Proton Saga FLX di luar premis.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek yang memakai topi dan apron serta bersenjatakan pisau meluru ke arah kaunter bayaran.

“Suspek mengambil wang tunai berjumlah RM1,500 dari kaunter dan melarikan diri. Pekerja terbabit tidak dicederakan.

“Ketika kejadian, terdapat seorang lagi pekerja sedang menyusun barang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, sepasukan anggota ke lokasi sejurus menerima maklumat kejadian pada jam 5.04 pagi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis itu.

Katanya, polis kini giat mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 4:05 PM
VIDEO tular pekerja kedai serbaneka berdepan detik cemas apabila disamun penjenayah memakai apron yang menyamar pelanggan.