PERKHIDMATAN bas percuma Go KL.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


RAPID Bus Sdn Bhd dan pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, menerima kontrak bagi mengendalikan semua laluan bas percuma Go KL berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Muhammad Nizam Alias berkata, anugerah kontrak itu satu pengiktirafan untuk Prasarana terutama Rapid Bus.

“Prasarana merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas kepercayaan diberikan kepada kami khususnya Rapid Bus untuk terus menyediakan perkhidmatan kepada rakyat dan mengendalikan enam laluan penting untuk meningkatkan mobiliti di kawasan Lembah Klang terutama pusat bandaraya Kuala Lumpur itu sendiri.

“Ini adalah satu pengiktirafan tinggi untuk Prasarana.

“Kami akan terus memberikan perkhidmatan sebaik mungkin kepada pelanggan selaras dengan misi untuk menyediakan perkhidmatan berkelas dunia untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kontrak setahun diberikan DBKL bagi mengendalikan enam laluan Go KL iaitu Laluan Hijau antara Suria KLCC dan Bukit Bintang, Laluan Ungu antara Hab Pasar Seni dan Bukit Bintang, Laluan Biru antara Hab Titiwangsa dan Bukit Bintang.

Selain itu, Laluan Merah antara Hab Titiwangsa dan KL Sentral menerusi Dataran Merdeka, Laluan Jingga antara Hab Titiwangsa dan MINDEF dan Laluan Merah Jambu antara LRT Universiti dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria di Bangsar.

Rapid KL mula mengendalikan perkhidmatan Go KL untuk Laluan Ungu dan Hijau ketika perkhidmatan bas percuma itu mula diperkenalkan pada 1 September 2012.

Ia mengambil alih Laluan Merah dan Biru pada 1 Mei 2014 sebelum diberikan kontrak mengendalikan Laluan Jingga pada 28 Februari tahun lalu dan Laluan Merah Jambu pada 1 April lalu.

Diperkenalkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), inisiatif perkhidmatan bas Go KL kini diletakkan di bawah DBKL selepas suruhanjaya berkenaan dibubarkan dan digantikan Agensi Pengangkutan Awam Darat, agensi di bawah Kementerian Pengangkutan.

Selain GO KL, Rapid Bus turut mengendalikan perkhidmatan bas percuma Petaling Jaya City Bus dan perkhidmatan bas SMART Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 11:47 AM