EBIT (kiri) menjalankan aktiviti dakwah berdekatan kelab malam di ibu kota, semalam.
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


“SEBAK bila dakwah di kelab. Penuh anak muda Islam beratur keluar masuk,” luah pendakwah Ebit Lew menerusi status Instagram miliknya selepas mendekati anak muda di sebuah kelab malam di Ibu Kota, awal pagi tadi.

Katanya, senyuman dan wajah mereka seperti anak di rumah. Ada yang mengajaknya mengambil gambar namun terdapat juga yang cabut lari.

“Sedih bila berbual dengan beberapa remaja perempuan berusia 20-an. Ada yang tanya, mereka tidak pernah solat dan kotor dengan dosa. Allah maafkan tak (tidak), kami berzina, mabuk dan ambil pil.

“Saya minta mereka bersyukur pada Allah dan jaga solat. Mohon pada Allah diberi kekuatan untuk tinggalkan maksiat dan bertaubat. Ada yang menangis dan minta saya doakan,” katanya yang turut berkongsi video bersama remaja berkenaan.

Menurutnya, hampir 100 remaja yang ditemui mengaku sudah lama tinggalkan solat.

“Ada dalam kalangan ibu bapa mereka sudah meninggal dunia, berada jauh di kampung dan terdapat juga yang bapa garang dan suka pukul anak-anak.

“Lebih menyedihkan, ada ibu bapa yang tidak kisah sikap dan perbuatan anak mereka. Ramai sebenarnya yang baik namun kurang kasih sayang,” katanya.

Ebit turut berkongsi senario pada jam 4 pagi ketika anak muda mula kelihatan keluar dari kelab malam dalam keadaan mabuk dan menjerit-jerit.

“Arak diminum seperti air mineral. Lelaki dan perempuan ada yang berciuman selain berpakaian mencolok mata.

“Seram tengok, semua muda lagi. Begini nasib anak muda Islam, apalah nak (hendak) dijawab pada Nabi Muhamad SAW.

“Maafkan diriku Ya Allah dan selamatkan mereka daripada terus bergelumang dengan kemaksiatan,” luahnya.

Video berkenaan mendapat 358,363 tontonan dan lebih 1,000 komen yang memuji usaha Ebit yang menyantuni golongan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 6:25 AM