Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


SERAMAI 14 nelayan termasuk tiga tekong warga tempatan ditahan di dalam empat bot bersama hasil laut di perairan selatan Pulau Pinang, awal pagi kelmarin.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Noraisyah Abu Bakar berkata, kumpulan lelaki berusia antara 25 hingga 55 tahun berkenaan menggunakan empat bot dan dikesan menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan.

Katanya, mereka ditahan di kawasan 2.6 batu nautika dari Pulau Kendi dan 2.9 batu nautika dari Pulau Rimau.

“Mereka mempunyai lesen menangkap ikan sah, namun dilarang melakukannya kurang 15 batu nautika dari pesisir pantai.

“Susulan itu, kami menyerbu kumpulan nelayan ini dan menahan mereka berdasarkan laporan diterima, ” katanya pada sidang media di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung di Bayan Lepas, semalam.

Beliau berkata, hasil tangkapan nelayan terbabit berjumlah RM3,500 dirampas selain bot dianggarkan bernilai lebih RM2 juta disita.


NORAISYAH (kiri) bersama pegawainya memeriksa empat bot nelayan yang ditahan kerana menangkap ikan di kawasan larangan pada sidang media di Jeti LKIM di Batu Maung, Bayan Lepas, semalam. FOTO Ramdzan Masiam.

Dalam kejadian berasingan, Noraisyah berkata, dua beranak lelaki berusia 42 dan 15 tahun dikesan mengubahsuai bot mereka dan menggunakan pukat ‘apollo’ bagi menangkap ikan di Sungai Chenaam di Seberang Perai Selatan.

Katanya, bapa dan anak lelakinya itu menyangkut pukat apollo di antara bot yang diubahsuai berkenaan sebelum menyusuri sungai.

“Pukat ini dilarang penggunaannya kerana membahayakan spesis ikan kecil yang menjadi sumber marin di kawasan itu.

“Pukat itu boleh menangkap segala jenis ikan termasuk ikan kecil yang boleh menjejaskan sumber ikan di kawasan itu.

“Bot berharga RM40,000 dan hasil tangkapan dianggarkan RM200 dirampas bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 12:14 AM