FOTO hiasan
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menganggap aktiviti mengebom ikan sehingga menyebabkan kematian tiga penyelam termasuk dua pelancong China di perairan Pulau Kalapuan, Semporna, Jumaat lalu, sebagai mencabar kredibiliti penguat kuasa.

Sehubungan itu, sebagai respon berhubung kejadian berkenaan, APMM Sabah akan bekerjasama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) termasuk menggerakkan aset dan tenaga kerja supaya operasi serta pemantauan keselamatan dilaksanakan berjalan lancar dan membuahkan hasil.

Pengarah APMM Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, walaupun kejadian maut itu masih dalam siasatan polis sama ada disebabkan aktiviti pengeboman ikan, namun ia dipandang serius pihaknya.

“Disebabkan seriusnya kesan aktiviti bom ikan ini, APMM Sabah sudah melaksanakan operasi khas membanteras bermula penghujung Mei lalu sehingga kini.

“Operasi ini dilakukan di kawasan panas sekitar perairan Kota Belud, Mantanani dan Pulau Gaya selepas menerima aduan dan maklumat risikan berhubung aktiviti berkenaan sehingga menyebabkan aktiviti menyelam tidak dapat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya, APMM Sabah juga turut melaksanakan mesyuarat bersama Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah bagi isu membincangkan isu sama.

“Antara isu dipandang serius dalam mesyuarat kali ini adalah aktiviti mengebom ikan yang dilakukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penempatan mereka juga sudah dikenal pasti.

“Dalam usaha bersepadu ini, semua agensi akan menggembleng tenaga dalam memerangi aktiviti ini habis-habisan kerana insiden yang berlaku baru-baru ini memberi kesan dan menggemparkan komuniti maritim terutamanya di Zon Maritim Semporna.

“Selain itu, apa yang berlaku mencabar kredibiliti pasukan keselamatan apabila aktiviti mengebom ikan ini meragut nyawa termasuk pelancong asing,” katanya.

Terdahulu, Kamaruszaman menasihatkan syarikat dan pengendali aktiviti menyelam supaya mematuhi prosedur keselamatan ketika menyelam bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Disebabkan kecuaian dan sikap tidak mengendahkan faktor keselamatan penyelam, ia boleh menyebabkan maut kepada penyelam rekreasi.

“Penyelam ini seharusnya diawasi dari permukaan air dan tanda sepatutnya diletakkan di mana aktiviti penyelaman sedang dilakukan.

“Faktor keselamatan kawasan menyelam yang dikunjungi juga harus dipastikan selamat dan bebas daripada ancaman aktiviti mengebom ikan,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Zainal Abdul, 31, yang juga pemegang dokumen IMM13 bersama dua lagi pelancong dikenali sebagai Zhao Zheng dan Xu Yingjie maut ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Kalapuan, Semporna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 9:58 AM