Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


BAGI memperkasakan lagi peranan institusi masjid, 75 masjid dan 10 surau dari seluruh Wilayah Persekutuan dihimpunkan dalam program ‘Street Raya’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini.

Acara anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu menyantuni lebih 15,000 pengunjung yang bukan saja terdiri daripada kariah, malah pelbagai lapisan masyarakat dan pelancong asing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, program julung kali menggabungkan masjid dan surau itu selaras dengan konsep Masjid Rahmah yang diperkenalkan pihaknya sebelum ini.

“Ia memberi makna mendalam bagi merealisasikan fungsi masjid sebenar yang merujuk kepada ‘Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat’ sekali gus memberi inspirasi untuk diterapkan dalam usaha murni menyantuni ummah.

“Dalam program Street Raya ini, masjid dan surau Jumaat berkumpul sebagai pusat penyatuan ummah antaranya menyantuni masyarakat, mempromosi aktiviti dan maklumat bersesuaian dengan pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin.

“Selain mengeratkan tali silaturahim, ia secara tidak langsung dapat mewujudkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan perpaduan antara pelbagai kaum di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program itu.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee dan Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail.

Acara itu turut menerima pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai bilangan penganjuran paling banyak penyertaan bagi Rumah Terbuka.

Dua tan durian, 50,000 sate dan 70 kambing golek antara juadah yang dihidangkan kepada pengunjung sepanjang empat jam program berkenaan.

Kata Mujahid, program seumpama itu turut mencerminkan ajaran dan tuntutan Islam dalam membentuk nilai murni dalam sesebuah masyarakat.

“Nilai ketinggian dalam Islam memainkan peranan bagi membentuk masyarakat yang lebih harmoni, bukannya melanggar dan mempersendakan agama, adat serta tradisi antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kos perbelanjaan terutama membabitkan makanan ditanggung sepenuhnya oleh semua masjid berkenaan tanpa menggunakan ‘wang’ kerajaan.

“Mungkin ada ‘suara nakal’ mengatakan program seumpama ini satu pembaziran walaupun pada hakikatnya ia memang tidak ditanggung oleh kerajaan.

“Kita hanya terbabit dalam perbelanjaan pentadbiran yang tidak banyak berbanding kos keseluruhan program ini. Selain itu, khemah yang digunakan disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 9:45 PM
ORANG ramai hadir untuk menikmati pelbagai hidangan yang disediakan pada program Street Raya. FOTO Aizuddin Saad