GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


LELAKI warga emas maut selepas ditimpa dahan pokok ketika melakukan kerja pembersihan kawasan penebangan balak di Sungai Akar, Sayong di Kuala Kangsar, hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, Chan Kok Loi, 63, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Kuala Kangsar selepas dibawa keluar dari kawasan pembalakan menaiki pacuan empat roda yang mengambil masa hampir sejam perjalanan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati penyelia syarikat pembalakan menerima maklumat mengenai seorang pekerjanya ditimpa dahan pokok dengan anggaran ukur lilitnya 40 sentimeter.

“Penyelia berkenaan bersama beberapa pekerja lain yang berdekatan segera memberi bantuan dengan memotong dahan kayu yang menimpa mangsa dan terus mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian ke Hospital Kuala Kangsar dengan menaiki Toyota Hilux milik syarikat.

“Apabila sampai di hospital pegawai perubatan mengesahkan kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati laluan ke kawasan pembalakan itu adalah jalan tanpa turap sejauh lebih kurang 20 kilometer dari hospital.

Katanya, ada banyak kesan tompokan darah di kawasan mangsa ditimpa dahan kayu itu dan siasatan dibuat dengan menemubual dua saksi pekerja yang berada di tempat kejadian, termasuklah anak mangsa, Chan Mun Hong, 30.

“Saksi memberitahu nampak mangsa yang memandu jentolak keluar dari jenteranya memerhati ke arah pokok untuk menolak dan dalam masa sama, anak mangsa yang berada lebih kurang 30 meter memerhati tindakan bapanya itu.

“Tiba-tiba, satu dahan kayu besar jatuh dan menimpa mangsa sebelum anak mangsa serta pekerja yang berdekatan terus memberhentikan kerja dan cuba menyelamat mangsa,” katanya.

Katanya, bedah siasat dijalankan pada 2 petang hari ini dan hasilnya mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 8:31 PM