Fairuz Zaidan
fairuzaidan@nstp.com.my


MELAKA bakal memperkenalkan kawasan ‘Rileks and Chill’ berkonsepkan pelancongan kulinari di perkarangan Menara Taming Sari, dalam usaha mewujudkan satu lagi tarikan industri pelancongan baharu di negeri ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ‘Rileks and Chill’ yang dijangka dilancarkan 15 Julai ini akan memfokuskan sebanyak 18 gerai menjual pelbagai barangan berbeza termasuk masakan kulinari bercirikan negeri Melaka.

“Kita jangkakan pada 15 Julai ini, Menara Taming Sari akan berwajah baharu, di mana salah satunya menampilkan produk pelancongan berasaskan kulinari yang mempunyai tarikan tersendiri kepada pelancong.

“Daripada 18 gerai, lapan daripadanya akan menampilkan pelbagai masakan pelbagai etnik di Melaka, selain persembahan hiburan kontemporari dan tradisional pada setiap hujung minggu untuk benar-benar memberikan daya tarikan baharu kepada sektor pelancongan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Festival Masakan Warisan Melaka 2019 anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) di perkarangan Muzium Rakyat, Kompleks Warisan Bandar Hilir, hari ini.

Festival yang diadakan bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019 itu dirasmikan isteri Ketua Menteri, Dalilah Awaluddin dan turut dihadiri Timbalan Pengerusi PERZIM, Datuk Khamis Abas dan Pengurus Besar PERZIM, Mohd Nasrudin Rahman.

Sebanyak 40 peserta seluruh negara mengambil bahagian yang menampilkan 80 jenis masakan dari pelbagai etnik di negara ini khususnya dari negeri Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 8:29 PM
MUHAMMAD Jailani (dua kiri) menunjukkan masakan Mee Bodo kepada isteri Ketua Menteri, Dalilah Awaluddin (tiga kiri) ketika melawat gerai masakan pada Majlis Perasmian Festival Masakan Warisan Melaka 2019. FOTO Rasul Azli Samad