Peniaga warga asing yang berniaga di Pasar Selayang, Gombak. FOTO NSTP
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


USAHA pihak berkuasa menggempur dan menangkap warga asing bekerja serta berniaga secara haram secara berterusan di Pasar Selayang, di Gombak, mula membuahkan hasil.

Tinjauan Harian Metro di lokasi itu, hari ini mendapati hanya beberapa gerai yang diterajui warga asing yang buka di sekitar jalan masuk di pasar itu.

Dianggarkan tidak lebih 10 gerai dibuka warga asing terbabit yang menjalankan perniagaan menjual hasil laut, sayur-sayuran dan buah-buahan

Difahamkan, ia berikutan tindakan pihak berkuasa antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang meronda di sekitar pasar itu, hari ini.

Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Zubir, 47, berkata, terdapat pengurangan jumlah warga asing yang bekerja dan berniaga secara haram di kawasan terbabit.

Menurutnya, ia berikutan lokasi itu kerap diserbu pihak berkuasa berikutan aduan serta laporan berita berkenaan kebanjiran warga asing yang dilihat seolah-olah menguasai pasar borong ini.

“Berbanding dulu, deretan jalan masuk di pasar ini memang dipenuhi dengan warga asing. Namun, kini ia sudah semakin berkurangan.

“Namun, masih ada segelintir daripada mereka akan bentang tikar dan jual seperti biasa apabila pihak berkuasa tiada, cuma tidak banyak seperti dulu.

“Jika mereka sedar kehadiran pihak berkuasa, mereka akan lari lintang-pukang bersembunyi meninggalkan gerai,” katanya yang sudah berniaga 10 tahun.

Katanya lagi, warga asing kini semakin bijak apabila menjual dengan kuantiti yang sedikit dan meninggalkan hasil jualan yang sudah tidak segar.

“Kebanyakan mereka membeli barangan mentah itu dengan harga yang murah. Apabila, barangan itu sudah melebihi dua hari, peniaga akan tolak kepada mereka. Jadi mereka tak rugi,” katanya.

Sementara itu, penduduk tempatan, Zainal Omar, 34, berkata, pemantauan dan rondaan setiap hari di kawasan ini perlu bagi mengekang kegiatan warga asing ini.

“Hari ini, saya nampak berkurangan peniaga warga asing dekat sini berbanding hari-hari sebelum ini. Mungkin sebab ada lori DBKL yang lalu sebentar tadi,” katanya.

Menurutnya lagi, apa yang menjadi kebimbangannya adalah mengenai aspek kebersihan serta barangan yang dijual.

“Kebanyakan mereka memang menjual barangan pada harga cukup murah dan ada warga tempatan yang membelinya.

“Jika datang ke kawasan ini, pemandangannya saja sudah cukup menjijikkan terutamanya di sekitar tepi jalan pintu masuk berikutan kesan selepas berniaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 5:05 PM