KEADAAN kereta dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


WANITA maut, manakala dua rakannya parah selepas kereta dinaiki mereka dilanggar sebuah pacuan empat roda yang terbabas di Kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan arah Sungai Buloh ke Rawang berhampiran susur ke Rawang Selatan, di Sungai Buloh, hari ini.

Dalam kejadian 6.06 pagi itu, mangsa, Liyana Azri Ibrahim, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit di tempat duduk penumpang belakang, manakala pemandu, Jule Yana Angreny Ahmad, 31, dan rakan mereka, Nur Hidayati Amir, 32, dilaporkan parah.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan iaitu pacuan empat roda Ford Ranger dan Proton Wira Aeroback yang dinaiki tiga mangsa berkenaan.

“Berdasarkan keterangan pemandu kereta Proton Wira Aeroback berkenaan, kemalangan berlaku ketika dia bersama dua rakannya dalam perjalanan dari Keramat hendak ke Rawang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba kereta mereka dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun di bahagian belakang sebelah kiri.

“Pelanggaran itu menyebabkan kereta dinaiki mangsa hilang kawalan lalu berpusing dan melanggar besi penghadang jalan di lorong susur keluar ke Plaza Tol Rawang Selatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shafa’aton berkata, ketiga-tiga mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu dikeluarkan oleh bomba dan penumpang belakang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut. Pemandu pacuan empat roda berkenaan tiada di lokasi kejadian dan kini sedang dikesan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 2:48 PM