SEBAHAGIAN jemaah melakukan ziarah di Masjid Nabawi dan kawasan sekitarnya, semalam. FOTO Yusri Abdul Malek
Yusri Abdul Malek
Yusrimalek@hmetro.com.my


ISU masalah kesihatan wanita dan kencing tidak lawas dalam kalangan lelaki adalah pertanyaan lazim jemaah haji kepada Unit Bimbingan Ibadat Lembaga Tabung Haji (TH) sama ada di Madinah atau di Makkah.

Kebanyakan mereka masih musykil dengan masalah yang dialami itu walaupun sebelum ini pembimbing kursus intensif sudah menyentuh mengenai permasalahan itu.

Namun, ia tidak menjadi persoalan buat Unit Ibadat TH kerana mereka sudah menyediakan ustaz dan ustazah berkelayakan untuk menjawab dan membantu setiap persoalan serta kemusykilan dalam kalangan jemaah sama ada di Madinah atau Makkah.

Pengurus Ibadat Madinah Mohd Zamri berkata, pihaknya melalui Unit Bimbingan dan Ziarah menyediakan ustaz dan ustazah di zon masing-masing di hotel penginapan bagi membantu menjawab serta membimbing jemaah yang ada masalah dalam menjalani ibadah umrah dan haji.

“Mana-mana jemaah haji yang ada masalah boleh berhubung atau berjumpa terus dengan ustaz atau ustazah yang ditugaskan di hotel masing-masing. Kami menyediakan 12 guru pembimbing di Madinah sahaja untuk membantu.

“Sesi ceramah dan ulangkaji mengenai umrah dan haji juga turut diadakan bagi mengingatkan semula mengenai ibadah yang akan dijalankan.

“Mereka juga boleh menghubungi talian hotline yang tertera pada tali tanda nama mereka pada bila-bila masa.

"Petugas yang menjaga talian hotline itu akan menjawab setiap kemusykilan terutama ketika jemaah berada di luar serta sedang melakukan ibadah,“ katanya selepas mengadakan sidang media, di Madinah, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan masalah ibadah yang paling tinggi diterima adalah berkaitan kesihatan wanita seperti haid dan sebagainya.

Namun, katanya, ada juga jemaah lelaki yang mengalami masalah kesihatan sama seperti wanita terutama kencing tidak lawas.

“Biasa setiap persoalan itu akan dijawab dengan teliti bagi memberi kefahaman kepada jemaah yang bertanya,” katanya.

Selain itu, Mohd Zamri berkata, pihaknya turut mengatur program ziarah yang dibahagikan kepada dua iaitu ziarah dalam dan luar.

“Jemaah akan dibawa melawat Masjid Nabawi bagi menziarahi pusara Nabi Muhamad SAW dan pusara sahabat, melakukan solat sunat di Raudah, melawat perkuburan Baqi, muzium al-Quran.

"Di muzium al-Quran, jemaah dapat melihat proses awal penulisan kitab suci itu," katanya.

Katanya, jemaah haji juga akan dibawa menziarah lokasi bersejarah di sekitar Madinah seperti Masjid Quba, Masjid Tujuh, makam syuhada di Bukit Uhud serta melawat ladang kurma.

"Ziarah ini bertujuan mengisi masa jemaah ketika berada di Madinah," katanya.

Bagi jemaah pula, program ziarah dianggap memberi peluang kepada mereka untuk mengenali sejarah Islam di sini.

Abdul Latif Ahamad, 56, berkata dia seronok kerana dapat melihat lebih dekat proses penjilidan naskhah al-Quran dari awal hingga yang ada sekarang.

"Sambil bersolat dan berzikir di masjid, sempat juga kami dibawa melihat kawasan bersejarah yang ada di Madinah sebelum bertolak ke Makkah," katanya.

Jemaah lain, Maimon Abu, 65, berkata ziarah itu membolehkan dia mendapat maklumat mengenai sejarah lama Islam dan perjuangan Nabi di Madinah.

"Seronok dapat tahu sejarah Islam kerana sebelum ini hanya dapat menerusi pembacaan tapi kali ini dapat tengok sendiri," katanya.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 9:27 AM