RAHMAT (kiri) tekun memperbaiki motosikal pelanggannya. FOTO Bernama
BERNAMA

KETIKA ramai dibuai mimpi, mekanik jalanan, Rahmat Azahari Sufian Tan tekun membaiki motosikal pelanggannya di kaki lima kedai di bandar raya ini walaupun hujan renyai pada jam 3.30 pagi.

Rahmat Azahari, 42, yang sudah berpengalaman selama 20 tahun menjadi mekanik jalanan menyediakan perkhidmatan membaiki motosikal dan kereta seperti membaiki enjin, tayar pancit, palam pencucuh dan masalah mekanikal.

Dia memilih untuk bekerja dalam bidang terbabit kerana ingin membantu mereka yang dalam kesulitan terutama pada waktu malam di sekitar bandar raya ini.

“Niat saya kerja malam, nak tolong orang, duit kemudian, yang penting kita tolong dulu,” katanya.

Rahmat Azahari yang masih bujang mengakui, menjadi mekanik jalanan memberikan lebih kepuasan kepadanya kerana dia dapat membantu orang secara terus.

Malah dia tidak kisah bekerja di kaki lima, tempat gelap, berhujan dan berpanas bagi mendapatkan rezeki yang halal.

“Biasanya pelanggan menghubungi saya melalui telefon atau berjumpa di stesen minyak di Jalan Sultan Idris Shah. Saya biasanya berada di situ sementara menunggu pelanggan,” katanya.

Dia menggunakan motosikal ketika melakukan kerjanya kerana lebih mudah bergerak terutama jika pelanggan itu berada di kawasan yang sukar dilalui kereta.

Cabaran utama dalam kerjayanya selain hujan dan panas adalah orang persekitaran.

“Saya pernah hampir dirodok dengan botol kaca oleh orang kurang siuman ketika membaiki motosikal pelanggan tetapi Alhamdulillah, saya dapat menenangkan keadaan.

“Kena tipu itu biasa, janji nak bayar tetapi hilang terus namun kita perlu bersangka baik.

“Mungkin dia dalam kesusahan jadi kena ingat niat saya bekerja untuk membantu orang,” katanya menambah, kerjaya terbabit memerlukan kesabaran dan keberanian.

Rahmat Azahari bersyukur kerana dengan pendapatannya itu, dia dapat menjaga ibu dan adik perempuannya.

“Saya tidak mempunyai apa-apa sijil, tetapi demi tanggungjawab saya terus belajar mendalami kemahiran membaiki kereta dan motosikal untuk mendapatkan rezeki yang halal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 6:30 AM