Nazri (kanan) dan Mohd Ashraf membuat laporan polis di IPD Jerantut hari ini. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek
am@hmetro.com.my


PENGERUSI Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut hari ini selepas mengesan kewujudan individu yang menggunakan namanya untuk memperdaya orang ramai.

Beliau ketika ditemui selepas membuat laporan berkata, kegiatan itu disedari Selasa lalu apabila ada individu hampir diperdaya selepas dihubungi penjenayah berkenaan untuk meminjam wang.

“Walaupun saya tidak rugi apa-apa kerana tidak mengeluarkan wang, tetapi perbuatan ini menjejaskan nama saya sebagai wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri.

“Saya percaya sindiket ini mencari orang yang ada hubungan atau mengenali saya khususnya rakan di laman sosial Facebook (FB),” katanya.

Turut membuat laporan polis peniaga, Mohd Ashraf Mohd Nasir, 29, yang hampir diperdaya sindiket terbabit.

Nazri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, percaya sindiket penipuan terbabit akan mencari kenalannya di FB seterusnya menghubungi mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mereka menyamar menjadi saya, kononnya saya terdesak memerlukan bantuan kewangan dan akan membayarnya segera selepas wang didepositkan ke akaun,” katanya.

Beliau berkata, mereka turut menggunakan gambarnya dalam aplikasi WhatsApp untuk meyakinkan mangsa yang dihubungi.

“Mereka yang pernah menjadi mangsa diharap tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ashraf berkata, dia mendapat pesanan WhatsApp individu terbabit Selasa lalu 5.30 petang.

“Individu yang menyamar sebagai Datuk Nazri itu meminta saya memasukkan wang RM1,500 ke nombor akaun Public Bank yang diberikan atas nama YB Hj Mohd Ridzuan kononnya akaunnya sudah terlebih had.

“Individu terbabit mendakwa beliau sibuk pada waktu itu kerana ada majlis dan memerlukan wang segera yang akan dibayar semula pada 9 malam hari sama,” katanya.

Katanya, dia yang mula mengesyaki sesuatu menghubungi wakil rakyat itu sebelum dimaklumkan Nazri tidak pernah membuat panggilan seumpama itu kepadanya.

“Saya mengambil keputusan menghubungi beliau bagi bertanyakan hal itu dan beliau menafikan ada menghubunginya atau menggunakan rakannya untuk meminjam wang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 6:21 PM