FOTO Hiasan
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


KERAKUSAN sekumpulan nelayan asing ‘mencuri’ 2,000 kilogram ikan pelbagai jenis mengundang padah apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kedah di perairan Kuala Kedah, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, sembilan nelayan bersama dua bot tunda kelas C dikesan melanggar syarat sah lesen operasi dengan mengaut hasil laut di perairan itu.

Menurutnya, nelayan berusia antara 25 hingga 50 tahun itu ditahan pada kedudukan 10.5 dan 12 batu nautika barat daya Kuala Kedah.

“Bot pertama ditahan pada 3.58 pagi ketika rondaan anggota APMM bersama tekong tempatan, tiga awak-awak warga Thailand dan seorang warga Myanmar.

“Selang sejam kemudian, sebuah bot bersama seorang tekong dan tiga awak-awak warga Thailand pula ditahan,” katanya.

Mahmad Faizal berkata, kedua-dua bot dianggarkan bernilai RM1 juta bersama 2,000 kilogram hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.

Beliau turut memberi amaran kepada pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan.

“Orang ramai dan komuniti nelayan juga diminta melaporkan aktiviti menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara.

“Orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 5:53 PM