Warga asing yang ditahan dalam Ops Flora di Saujana Putra. FOTO Ihsan PDRM
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


MENJALIN cinta sehingga berkahwin dengan wanita tempatan bagi mendapatkan lesen perniagaan seterusnya membuka kedai makan yang kemudiannya dijadikan tempat berkumpul warga Afrika.

Lambakan ‘awang hitam’ di sekitar Saujana Putra, Kuala Langat menimbulkan keresahan penduduk yang risau mengenai keselamatan diri serta tempat tinggal mereka.

Berikutan itu, sepasukan anggota polis menyerbu kawasan terbabit yang disertai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor; Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat; Jabatan Imigresen Malaysia serta Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), 7.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, operasi dikenali Ops Flora itu dijalankan susulan aduan persatuan penduduk dan syarikat perumahan yang tidak selesa dengan suasana bising selain menjadikan kawasan perumahan dalam pembinaan sebagai lokasi persembunyian.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan terhadap 80 individu dan 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tujuh wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan.

“Seramai 18 warga Nigeria, seorang dari Afrika dan dua dari Sudan ditahan dalam operasi yang berakhir awal pagi.

“Siasatan mendapati mereka bukannya tinggal di Saujana Putra, sebaliknya datang dari Cyberjaya, Puchong, Damansara, Shah Alam dan Klang,” katanya.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, semakan mendapati beberapa premis perniagaan makanan yang diusahakan ‘awang hitam’ adalah berlesen di atas nama warga tempatan.

“Kebanyakan pemilik lesen adalah wanita dan diusahakan oleh suami mereka lelaki Afrika.

“Pelbagai aduan diterima sejak mereka mula ramai di kawasan ini termasuklah cubaan cabul serta melanggar peraturan trafik dengan memandu laju,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

“Polis bimbang lambakan mereka akan menimbulkan kes penipuan, dadah dan sebagainya.

“Polis akan terus memantau bagi mencegah lambakan pendatang yang menimbulkan keresahan penduduk setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 5:44 PM