ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa mayat buruh ladang getah warga Indonesia ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh di Sungai Semantan, dekat Kampung Sempadan, Lanchang. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


BURUH ladang getah warga Indonesia ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh di Sungai Semantan, dekat Kampung Sempadan, Lanchang di Temerloh, hari ini.

Dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan, pihak berkuasa menemui mayat lelaki yang dianggarkan berusia 60-an kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh pada kelmarin.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, mangsa dikenali Zulfikar Zakaria ditemui pada 8.35 pagi selepas tiga hari operasi SAR dijalankan pihak berkuasa.

Beliau berkata, mayat dibawa ke unit forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian 3.30 petang kelmarin, mangsa bersama rakannya dikatakan pergi ke kawasan sungai untuk memancing sebelum dilaporkan terjatuh.

Mangsa juga dikatakan sebelum itu berjumpa dengan tukang kebun di kawasan itu untuk meminta izin memancing sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus sungai.

Sementara itu, Zundin berkata, majikan mangsa turut membuat laporan polis berhubung kehilangannya dan pengecaman mayat sudah dilakukan mereka.

Katanya, operasi SAR yang membabitkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung kini ditutup selepas mayat ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 12:05 PM