Pelajar Sekolah Menengah Rendah Islam At-Tahfiz memakai penutup hidung dan mulut ketika sesi pembelajaran sebagai langkah pencegahan. FOTO Adi Safri
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


PELAJAR dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) semalam bagi menjalani pemeriksaan lanjut selepas mengadu mengalami masalah kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, pelajar itu antara 31 pelajar yang mengalami simptom sesak nafas dan muntah semalam.

“Sehingga 12 tengah malam tadi, tiada pesakit baru dimasukkan ke wad dan setakat ini keadaan masih terkawal.

“Seramai 31 pelajar daripada 11 sekolah mengalami masalah kesihatan.

“Daripada jumlah itu, 21 orang dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan saringan dan hanya seorang saja yang dirujuk ke HSI untuk pemeriksaan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pelajar yang mengalami simptom semalam membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pasir Gudang; SK Senibong; SK Kopok; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Jaya; SK Taman Pasir Putih; SK Kota Masai 3; SK Pasir Gudang 4; SMK Dato Penggawa Timur; SMK Pasir Gudang 3 dan SMK Seri Kota Puteri.

Menurutnya, secara keseluruhan, pemantauan berterusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil tindakan penjejakan dan penyiasatan kepada 182 premis industri bagi kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Tindakan ini termasuk 91 kompaun kesalahan buangan terjadual, 10 kompaun efluen perindustrian, 46 notis arahan, lapan perintah tahan operasi dan dua arahan syor tindakan mahkamah,” katanya.

Mohd Khuzzan berkata, pada masa sama, 18 pasukan bantuan awal psikologi yang dibentuk Kementerian Kesihatan masih meneruskan perkhidmatan sokongan psikologi di sekolah terjejas.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 11:57 AM