Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


PAKAR fizik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menjadi saksi ke-30 untuk membantu mahkamah dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Shah Alam.

Dr Ir Amir Radzi Ab Ghani, 48, yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal itu dijangka hadir bagi memberi keterangan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, pada 16 dan 17 Julai.

Perkara itu diputuskan Koroner Rofiah dalam prosiding inkues, hari ini.

Rofiah berkata, pihaknya memilih Amir Radzi sebagai pakar fizik dan individu itu dipanggil sebagai saksi dalam membantu dalam prosiding inkues nanti.

“Pakar fizik itu akan membantu mahkamah ini berhubung pengiraan daya hentaman.

“Saksi perlu dimaklumkan dan bersetuju untuk membantu mahkamah daripada segi persoalan dalam prosiding inkues yang diperlukan pada 16 Julai nanti,” katanya.

Mengulas isu lain berhubung untuk memanggil pakar patologi lain seperti dicadangkan pegawai pengendali, Rofiah berkata, ia masih dipertimbangkan dan perlu selesaikan dahulu keterangan daripada pakar fizik nanti.

Terdahulu, antara pihak berkepentingan yang hadir ialah Faten Hadni Khairuddin sebagai Pegawai Pengendali; peguam Syazlin Mansor mewakili keluarga dan peguam kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sebelum ini, wujud dapatan berbeza daripada dua pakar forensik yang memberi keterangan dalam prosiding inkues berhubung formula dikemukakan Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi (saksi inkues ke-24) dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid ( Saksi inkues ke-29).

Sehingga kini, seramai 29 saksi dipanggil memberikan keterangan dalam inkues kematian Muhammad Adib, termasuk rakan sekerja mangsa, pegawai penyiasat dan pakar forensik sepanjang 39 hari prosiding.

Muhammad Adib, 24, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 11:38 AM