DUA wanita ditahan polis dipecayai terbabit dalam penagihan dadah di sebuah rumah dalam Ops Tapis di Felda Pasoh 4, Simpang Pertang. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


DUA wanita ditahan polis dalam Ops Tapis di rumah di Felda Pasoh 4, Simpang Pertang, di Jelebu, awal pagi semalam, selepas dipercayai terbabit dalam penagihan dadah.

Bagaimanapun, dalam serbuan 4.30 pagi itu, kedua-dua wanita berkenaan masing-masing berumur 32 dan 39 tahun enggan memberikan kerjasama untuk membuka pintu rumah kerana tidak percaya polis akan melakukan operasi pada awal pagi walaupun sudah memperkenalkan diri.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek ditahan oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Jelebu.

“Sebaik tiba di kediaman berkenaan, pihak kami memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan ke lokasi. Suspek bagaimanapun tidak percaya dengan kehadiran polis selain memberitahu polis tidak membuat serbuan pada awal pagi.

“Tindakan suspek yang enggan membuka pintu menyebabkan polis menyerbu masuk rumah berkenaan sebelum mendapati dua wanita terbabit dalam keadaan khayal di dalam bilik.

“Polis menjalankan pemeriksaan di dalam bilik sebelum menjumpai satu beg silang yang berisi satu paket plastik lutsinar mengandungi dadah dipercayai jenis syabu seberat 0.70 gram,” katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, Jelebu.

Kamarul Rizal berkata, pemeriksaan turut menjumpai satu kotak rokok di dalamnya terdapat satu paket plastik dan satu tiub penyedut minuman yang mengandungi dadah dipercayai jenis syabu seberat 0.90 gram.

Katanya, wanita berkenaan turut menyembunyikan dua tiub penyedut minuman dadah jenis Heroin seberat 0.50 gram yang diletak di atas lantai belakang almari solek di dalam bilik tidur berkenaan.

“Kediaman berkenaan adalah rumah keluarga seorang daripada suspek, manakala seorang lagi suspek adalah rakan yang tinggal di kampung berhampiran dan datang ke rumah berkenaan untuk melepaskan gian.

“Siasatan mendapati suspek mendapat bekalan dari seorang lelaki dikenali Jet yang tinggal di Sikamat, Seremban,” katanya.

Kamarul Rizal berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 11:31 AM